KOTA BHARU - Misteri bau busuk dihidu seorang pencanting batik membawa kepada penemuan mayat ibunya di sebuah rumah di Kampung Jaya Setia, di sini, pagi tadi.

Mayat Fatimah Dollah, 66, ditemui Rusdi Latiff, 41, ketika pergi ke rumah itu untuk menziarahi ibunya itu pada jam 11 pagi.

Difahamkan, setibanya di rumah itu, lelaki berkenaan terhidu bau busuk dan cuba untuk membuka pintu yang berkunci dari dalam.

Susulan itu, anak mangsa bertindak memecahkan tingkap ruang tamu sebelum berjaya memasuki rumah dan menemui mangsa yang terlentang atas katil dalam keadaan kebiruan.

Sementara itu, Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik yang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkata, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia beberapa jam lalu.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan masih diteruskan,” katanya.