KOTA BHARU - Kes pelajar yang diikat dengan akar pokok di Kampung Penambang hingga tular di laman sosial sejak semalam bukan buli sebaliknya hanya gurauan antara mereka.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kejadian berlaku selepas waktu persekolah tersebut berlaku pada Isnin lalu pada jam 1.30 petang.

“Pelajar itu membiarkan rakannya mengikatnya dengan akar kayu di sebatang pokok. Mangsa dengan rela hati membiarkan dirinya diikat kerana ingin bergurau atau melakukan silap mata.

"Sebelum kejadian mangsa dan rakannya dikatakan mengelak untuk hadir ke sekolah pada waktu persekolahan dan berada di kawasan belukar berhampiran sekolah mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, tadi.

Menurutnya, dalam kes itu mereka bergurau kononnya mahu melihat mangsa mampu melepaskan diri daripada ikatan itu dalam tempoh tertentunya, namun video tersebut disebarkan oleh salah seorang rakan hingga menimbulkan persepsi lain.