TANGKAK - “Kami masih ingat lagi terujanya arwah abah bila terima surat memaklumkan yang dia dan mak terpilih menjadi tetamu ALLAH pada tahun ini.

“Masa tu arwah abah memang gembira dan terus bergegas ke rumah adik kami (Mohd Fuad) yang terletak di belakang rumahnya semata-mata nak tunjuk surat panggilan haji tu,” demikian luahan anak kepada salah seorang jemaah haji, Ahmad Dali Sarman, 75, yang meninggal dunia di tanah suci bulan lalu.

Harlina, 47, yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu akui rasa sedih setiap kali mengimbau kenangan terakhir arwah bapanya yang dilihat begitu bersungguh-sungguh membuat persiapan untuk ke Makkah.

Menurutnya, sejak empat tahun lalu, bapanya sanggup membuat rayuan untuk mempercepatkan giliran mengerjakan ibadah haji selepas segala persediaan telah dipenuhi.

“Empat tahun arwah abah tunggu saat ni. Dia memang paling teruja bila dimaklumkan akhirnya dia dengan mak terpilih juga untuk mengerjakan haji.

“Punya la seronok masa tu. Kemudian, dia bersama mak (Painah Jali, 73) terus buat persiapan lengkap dengan beli barang keperluan dan pelbagai lagi persediaan untuk berangkat,” katanya ketika ditemui.

Mengimbau kembali kesungguhan arwah Ahmad Dali yang berhajat menunaikan ibadah haji sejak sekian lama itu, Harlina berkata, bapanya sanggup memperuntukkan wang perbelanjaan yang diperoleh hasil kerja menoreh getah dengan membuat simpanan sedikit demi sedikit.

“Kalau nak cerita usaha arwah abah yang sudah berhajat nak ke Makkah sejak dulu, dia memang bersungguh-sungguh apabila sejak lebih 20 tahun lalu dah buat simpanan hasil keuntungan menoreh getah.

“Justeru, apabila persediaan daripada segi kewangan dah mencukupi, abah dan mak terus ambil kursus haji. Malah, seingat kami, mereka juga dah tiga kali pergi kursus haji sebelum akhirnya terpilih mendapat panggilan tahun ini,” katanya.

Menurut Harlina, kali terakhir mereka adik-beradik bertemu dengan arwah bapanya ketika menghantarnya ke lapangan terbang Senai sebelum rombongan itu berlepas ke Makkah pada 23 Ogos lalu.

“Kami masih ingat pesanan abah yang minta kami jaga rumah sepanjang ketiadaan mereka berdua. Abah juga sempat pesan pada adik (Mohd Fuad) jaga kebun getahnya di belakang rumah.

“Perlakuan abah masa tu tak banyak beza. Cuma beberapa hari sebelum nak berangkat, kami lihat dia cepat sayu dan sedih. Setiap kali beri pesanan, dia akan menangis, namun kami anggap mungkin kerana abah nak pergi tinggalkan kami sekeluarga dalam tempoh agak lama,” katanya.

Ahmad Dali menghembuskan nafas terakhir pada 31 Ogos, jam 2.10 petang waktu Makkah ketika berada di khemah di Arafah.

Sementara itu, Hashim Othman, 75, menyifatkan pemergian kawan baiknya itu sebagai insan terpilih apabila dijemput ALLAH ketika mengerjakan ibadah dan sewaktu berada di tanah suci.

“Hampir 30 tahun kenal arwah, dia dah saya anggap macam saudara saya sendiri sebab kami sangat rapat apabila sering bertemu di surau dalam kampung ni. Kadangkala dia jadi imam, saya jadi bilal dan begitulah sebaliknya.

“Selama empat kali menjejakkan kaki ke tanah suci, saya selalu ceritakan padanya kelebihan mereka yang meninggal di Makkah. Saya beritahu saya memasang niat berharap akan dijemput Ilahi jika ke sana sekali lagi. Namun tak sangka rupanya dia yang dipilih meskipun baru pertama kali menjejakkan kaki ke sana,” katanya sebak.

Terdahulu, rombongan Tabung Haji yang diketuai, Ahli Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Mohamad Aziz menyerahkan sumbangan khairat kematian dan beberapa lagi barang keperluan lain kepada keluarga Allahyarham.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SETIU - Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemui meninggal dunia dalam tandas sebuah stesen minyak di Merang, di sini kira-kira jam 6.30 pagi semalam.
  • PONTIAN - “Kedua-dua adik saya gembira sangat bila terima surat memaklumkan yang mereka terpilih menjadi tetamu ALLAH pada musim haji tahun ini,” demikian luahan Hasnah Mahadi, 67, kakak kepada jemaah haji Zabidah, 66, yang meninggal dunia di Tanah Suci pada Jumaat lalu.
  • MELAKA - "Arwah tidak mahu dihantar ke hospital dan meluahkan yang dia ingin pulang ke Malaysia," kata Zainon Saad, 60, isteri kepada Wahid Sagap, 63, jemaah haji Malaysia yang meninggal di Makkah.
  • PONTIAN - “Kami masih teringat dakapan terakhir ibu di lapangan terbang sebelum dia berlepas ke Makkah,” demikian luah Norashida Sahakah@ Ishak, 37, anak kepada jemaah haji, Hapsah Ahmad, 71, yang meninggal dunia di Tanah Suci pada Selasa lalu.
  • BACHOK - Seorang aktivis tempatan dan juga sukarelawan pertubuhan orang kelainan upaya (OKU) negeri ini, kehilangan bayi sulungnya akibat komplikasi dalam kandungan kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.