JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta untuk menaik taraf kemudahan di kompleks Yayasan Warisan Johor (YWJ) di Jalan Sungai Chat, di sini.

Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan, Khuzzan Abu Bakar berkata, menerusi peruntukan tersebut, RM2 juta akan digunakan untuk menaik taraf dewan serba guna ke dalam auditorium duduk gaya teater.

Beliau berkata, manakala RM800,000 akan digunakan untuk naik taraf kawasan letak kereta dan pembinaan Tangga Agung (tangga besar) di kompleks berkenaan.

"Pada masa ini peruntukan telah diluluskan dan kerja naik taraf bagi kawasan tempat letak kereta dan Tangga Agung akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Tujuan utama kami adalah mahu mengubah dan memposisikan kompeks ini sebagai satu penghormatan untuk pelawat dan pelancong untuk mengetahui lebih banyak mengenai budaya Johor," katanya dalam sidang media selepas menerima lawatan daripada pemaju hartanah MB World Group Bhd, di Kompleks YWJ, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, pihak Mb World Group Bhd menyumbangkan RM10,000 kepada YWJ untuk kegunaan mesin Kek Tenunan di galeri tersebut.

Dalam pada itu, Khuzzan yang juga merangkap Adun Semerah berkata, peruntukan itu juga akan digunakan untuk menaik taraf pusat tenun yang terletak di dalam kompleks untuk menghasilkan songket Johor dan kain benang Johor.

Beliau berkata, pihak YWJ juga akan mewujudkan rumah untuk memaparkan pakaian tradisional Melayu Johor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dijangka merasmikan pusat tenun itu pada September nanti.

"Dalam acara itu, Sultan Ibrahim juga akan mengumumkan Kompleks Yayasan Warisan Johor sebagai Warisan Sultan Abu Bakar," katanya.