JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor kesal dengan insiden sebuah kuil yang terletak di atas sebuah tanah milik persendirian dirobohkan, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, segala fakta kes dan maklumat berkenaan isu itu sedang diperhalusi.

Menurutnya, semua pihak diharap tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan dan maklumat yang tidak tepat.

“Ia bukan sahaja akan menimbulkan kekeliruan malah boleh memburukkan lagi keadaan.

“Berdasarkan rekod kerajaan negeri, kuil yang dirobohkan tersebut didirikan di atas tapak Milik Persendirian di Lot 4907, Mukim Plentong, berdekatan Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, Masai.

“Pemilikan tanah tersebut didaftarkan pada tahun 1995,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, walaupun kuil itu didaftarkan pada tahun 2007, namun ia dibina tanpa mendapat kebenaran daripada pemilik sah tanah tersebut sekali gus dilihat sebagai satu kes pencerobohan.

Katanya, bagaimanapun, pihak pengurusan kuil pernah mendapatkan pandangan dan mengadakan rundingan dengan wakil-wakil rakyat ketika itu serta pihak berkuasa negeri berkaitan.

“Cadangan penyelesaian segera yang dikemukakan oleh kerajaan negeri pada ketika itu adalah dengan menawarkan sebidang tanah baharu milik kerajaan negeri sebagai tapak gantian kepada tapak kuil dalam isu ini.

“Namun, cadangan tersebut tidak dipersetujui dan ditolak oleh pihak pengurusan kuil yang berkeras untuk kekal berada di atas tapak milik persendirian tersebut sekali gus menyebabkan isu ini terus berlarutan,” katanya.

Beliau berkata, oleh itu, sejak tahun 2015, pemilih sah tanah tersebut dilaporkan telah beberapa kali menghantar notis dan amaran kepada pihak pengurusan kuil berhubung perkara tersebut.

“Akan tetapi, difahamkan bahawa beliau tidak mendapat kerjasama daripada pihak pengurusan kuil berkenaan.

“Susulan daripada itu, pemilik tanah telah menggunakan saluran undang-undang bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk membolehkan beliau berkuasa sepenuhnya atas tanah milik beliau,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kemuncak kepada keputusan oleh pihak kuil yang mahu kekal di atas tanah tersebut dan tidak bersetuju untuk berpindah, kuil tersebut akhirnya dirobohkan oleh pemilik tanah tersebut selepas mendapatkan perintah mahkamah pada 31 Julai 2017.

“Memandangkan ini merupakan satu isu serius, kerajaan negeri menggesa semua pihak untuk mempamerkan sikap toleransi yang tinggi, bersikap rasional, terbuka dan tidak terburu-buru dalam membuat penilaian terhadap isu ini.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan memperhalusi perkara ini dengan lebih lanjut bagi mencari jalan penyelesaian yang munasabah, terbaik dan adil kepada kesemua pihak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan berusaha mencari jalan penyelesaian dan semua pihak diseru untuk memberikan kerjasama yang terbaik dalam menyelesaikannya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUBANG - Pejabat Tanah dan Daerah Petaling bertindak merobohkan struktur binaan yang dibina secara haram di bawah rentas (pencawang) Tenaga Nasional Berhad (TNB) berdekatan tapak pelupusan sampah, apartmen Melati, Taman Bukit Subang, dekat sini hari ini.
  • BATU CAVES - Pemilik tiga gerai di Jalan Perusahaan 3 dan 4 di sini, berputih mata selepas pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan struktur binaan gerai mereka pagi, semalam.
  • AMPANG - Seramai 39 pemilik premis di persimpangan selekoh Kampung Pasir, Ukay Perdana, Hulu Klang di sini, akur dengan tindakan perobohan yang dilaksanakan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan, semalam.
  • PASIR PUTEH - Rumah pokok yang pernah mencuri tumpuan ramai selepas tular di laman sosial dua tahun lalu kini menunggu masa untuk roboh kerana semakin reput.