JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sekiranya ia menggangu Artikel 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, ia kerana isu yang dibangkitkan bukan lagi menjadi agenda politik kepartian sekiranya telah menyentuh perlembagaan negara.

“ICERD ini bukan lagi  isu politik kepartian sekiranya ia melanggar mana-mana perkara yang termaktub dalam perlembagaan.

“Pendirian kami di Johor jelas, sekiranya ia melanggar, mengugat atau melemahkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, Sistem Raja Berpelembagaan dan kedudukan Agama Islam, kita akan menolak ICERD,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Osman berkata, kerajaan negeri juga percaya perkara itu dapat diselesaikan dengan berhemah menerusi pertimbangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

“Saya yakin dengan kebijaksanaan Dr Mahathir. Beliau akan membuat keputusan yang terbaik bagi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memberi jaminan tidak akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan sekiranya ICERD diratifikasikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waytha Moorthy memberikan jaminan itu pada persidangan Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang mahu tahu pendirian kerajaan berhubung perkara itu.