PONTIAN - Keadaan kawasan pesisir pantai di daerah ini masih terkawal meskipun berlaku limpahan air laut disebabkan fenomena air pasang besar berserta ribut di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak, malam tadi.

Pegawai Daerah Pontian, On Jabar @Jaafar berkata, keadaan selamat dan terkawal kerana hanya melibatkan limpahan air laut di kawasan pesisir pantai di kawasan tersebut.

“Tiada kawasan dilapor terjejas setakat ini. Fenomena air pasang besar yang dilapor sudah berlaku sejak semalam dijangka bukan dalam tahap berbahaya.

“Namun, aspek keselamatan tidak pernah diabai diperingkat daerah. Ini kerana sekiranya hujan dan ribut berlaku serentak ketika fenomena air pasang besar dibimbangi berlakunya banjir dan keadaan akan menjadi teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Sri Perhentian di sini hari ini.

On berkata, penduduk dan nelayan diminta sentiasa berwaspada dan mengambil maklum tentang kejadian air pasang besar yang dijangka berlarutan sehingga hujang bulan ini.

“Penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan pantai diminta memberikan kerjasama jika diberikan arahan dari pihak berkuasa sekiranya keadaan air pasang besar tidak terkawal,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan pesisir pantai di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak yang dipenuhi sampah jelasnya  kontraktor pembersihan sudah diarahkan membersihkan kawasan tersebut.

Katanya, limpahan air laut membawa sampah sarap selain pasir ke kawasan pesisir pantai di Pusat Perdagangan Pontian, malam tadi.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • AMPANG - Hujan lebat kira-kira 40 minit pada jam 4 petang tadi menyebabkan banjir lumpur di sebuah pangsapuri di Taman Saga.
  • KOTA BHARU - Banjir kilat yang melanda Kota Bharu tempoh hari memaksa peniaga termasuk ‘tok seh karpet’ melelong barangan perniagaan mereka yang ditenggelami air bagi mengelak mengalami kerugian berterusan.
  • BATU PAHAT - Ketika daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi mulai surut, kawasan Sri Medan, di sini, mengalami situasi yang berbeza apabila kawasan berkenaan pula dinaiki air.
  • KUANTAN - Keadaan banjir di daerah Pekan tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa masih kekal 102 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
  • MUKAH - Kira-kira 1,350 penghuni rumah panjang dan penduduk kampung di kawasan Tanjung Pedada, Sungai Mukah, 27 kilometer dari sini terjejas hubungan darat apabila sebahagian jalan utama menghubungi kawasan itu ditenggelami banjir.