MACHANG - Biarpun masih di usia muda, Mohd Hafiz Mohamad, 25, gigih mengusahakan perniagaan ikan segar milik saudaranya di kawasan perniagaan Rimbun, Hutan Kuing, dekat sini.

Mohd Hafiz berkata, dia mula berkecimpung kerja tersebut sejak lima tahun lalu dengan mengikut sepupunya yang mengusahakan perniagaan itu di Jelawat, Bachok sebelum membuka cawangan kedua di sini.

Katanya, bau busuk atau hanyir ikan seolah-olah sudah sebati dengannya malah menyimpan angan-angan untuk mengusahakan perniagaan sendiri suatu hari nanti.

"Saya sudah biasa dengan hanyir ikan, bagi saya itu semua adalah asam garam yang mematangkan saya dan berharap pengalaman yang ada ini akan menjadi aset untuk saya memulakan perniagaan sendiri suatu hari nanti.

"Kami menawarkan ikan segar dari Tok Bali dan Kuala Besut. Setelah hampir tiga bulan berniaga di sini, pelanggan mula peka dan mendapat sambutan yang baik berbanding pada bulan pertama,” katanya.

Turut sama bekerja di kedai Ad Ikan Segar itu, saudaranya, Mohd Hakimi Ramli.

Kedua-dua anak muda ini tidak kekok melayan pelanggan, malah mengenali semua jenis ikan dan makanan laut yang ditawarkan.

Mohd Hafiz berkata, pelanggan lebih selesa membeli barangan keperluan mereka di kedai tepi jalan berbanding pasar, memandangkan mereka perlu masuk ke bandar dan susah mencari parkir kereta.

Namun dalam masa sama, dia tidak menolak terpaksa sabar dengan pelbagai karenah pelanggan terutama yang cerewet, namun itu semua menjadi asam garam dan pengalaman bermakna.

Katanya, pelbagai jenis ragam pelanggan terpaksa ditempuhinya  sejak bekerja di kedai ikan itu namun ia perlu ditangani dengan bijak malah dia sering bergurau senda dengan pelanggan bagi mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

"Apabila kita berjenaka dan berbual-bual dengan pelanggan, mereka akan rasa mesra dan selesa untuk singgah membeli lagi. Saya percaya hubungan yang terjalin memainkan peranan penting dalam perniagaan.

"Kita tidak boleh terlalu serius dengan pelanggan tetapi melayan mereka dengan mesra agar mereka selesa dan suka membeli di kedai kita,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu memperkenalkan dan mewujudkan ruang niaga dipanggil Pasar Perikanan di Pantai Teluk Mak Nik, di sini, yang menawarkan harga ikan dan hasil laut sebanyak 20 peratus lebih murah dari harga pasaran.
  • KEMAMAN - KUALITI ikan yang terdapat di perairan Terengganu yang dikatakan terbaik di Asia dipercayai menjadi daya penarik kepada bot nelayan asing untuk menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini.
  • HULU TERENGGANU - PARAS air sungai yang mulai cetek selepas musim tengkujuh kian berakhir, kini menarik perhatian komuniti kampung khususnya yang tinggal berdekatan sungai untuk kembali memeriahkan aktiviti di sungai.
  • kuala nerus - UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi membangunkan Pusat Penetasan Ikan Kelah di Tasik Kenyir.
  • BANDARAYA MELAKA - Peniaga-peniaga Melayu di negeri ini, harus menguasai lebih banyak tapak-tapak perniagaan komersial yang lebih mendapat tumpuan ramai serta berdaya maju.