TELEKOM Malaysia Berhad (TM) dan Grab menandatangani memorandum persefahaman (MoU) meliputi tiga bidang kerjasama termasuk memanfaatkan GrabforWork (GFW) dan pengurusan pengangkutan korporat Grab.

Kerjasama itu dijangka memberi manfaat kepada Grab dan pelanggan kumpulan TM.

Ketua Pegawai Digital TM, Ahmad Azhar Yahya berkata, kolaborasi dengan Grab ini juga sejajar aspirasi ‘Going Digital’ TM dalam usaha menawarkan sambungan kepada perkhidmatan nilai tambah digital dan perkhidmatan pintar baharu. 

"Kami akan terus tawar penawaran konvergens yang relevan menerusi lima teras iaitu kehidupan pintar, perniagaan pintar, bandar pintar, komuniti pintar dan negara pintar. 

"Ini akan memenuhi gaya hidup individu dan perniagaan selaras visi kami Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah demi Kesejahteraan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama, Tan Hooi Ling berkata, sejak memperkenalkan GFW kepada rakan korporat pada 2016, Grab mengumpul lebih 5,000 syarikat serantau yang menikmati tahap produktiviti dan kos perjalanan lebih baik.