INISIATIF  Rural Taobao oleh firma gergasi e-dagang, Alibaba Group, yang membantu penduduk kampung di China untuk meningkatkan pendapatan mereka, boleh diadaptasi dan memberi dorongan kepada rakyat Malaysia, kata Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd ( MDEC).

Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng berkata, program yang berjaya dilaksanakan pada 2015 di Hangzhou, Wilayah Zhejiang, boleh dijalankan di Malaysia jika infrastruktur platform dalam talian boleh diakses di kampung-kampung negara ini.

"China dan Malaysia adalah dua persekitaran yang berbeza, saiz kedua-dua negara berbeza, tetapi terdapat banyak perkara baru yang boleh kita pelajari dari republik itu dari segi bagaimana mereka membantu kawasan luar bandar menjadi berjaya," katanya kepada wartawan semasa Lawatan Media Kumpulan Alibaba di Hangzhou, baru-baru ini.

Liputan Rural Taobao telah merangkumi lebih dari 30,000 kampung di China dan telah berjaya kerana model itu membawa infrastruktur dalam talian ke kampung.

"Perkara pertama yang mereka lakukan ialah membantu penduduk kampung mendapat akses kepada barangan dan perkhidmatan,dan sebaik sahaja ia dilakukan, mereka melihat bagaimana mereka boleh membawa produk dan perkhidmatan keluar dari kampung terbabit," kata Ng.

Dalam kes Malaysia, Ng berkata, negara perlu mengenal pasti objektif dan apa yang mereka mahu capai dan kemudian kerajaan boleh memilih ciri-ciri yang baik daripada Rural Taobao dan melaksanakannya di Malaysia.

"Sebagai contoh, sokongan infrastruktur adalah kunci, jadi kita perlu menyediakannya kepada penduduk kampung dan melihat apa yang mereka mahu," tambahnya.

Beliau berkata, Malaysia boleh melihatnya dengan memastikan infrastruktur dalam talian di kawasan luar bandar sudah sedia, maka banyak perkara yangboleh dilakukan kerana Internet adalah hak asas untuk semua orang.

"Jika infrastruktur seperti itu sudah ada, maka anda dapat membawa lebih banyak peluang," kata Ng.

Sementara itu, Ketua Perwakilan Alibaba Group Malaysia, James Song berkata, kumpulan itu ingin memastikan tugas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia adalah mudah dan akan membantu mereka kerana projek perintis pertama di China adalah relevan dalam membolehkan PKS mengambil bahagian dalam dagangan global.          "Dengan teknologi, ia adalah masa yang tepat untuk PKS ke peringkat global dan memulakan program perintis di Malaysia dan negara-negara lain," kata Song.

Beliau berkata, platform dalam talian Rural Taobao boleh menjangkau semua kawasan luar bandar di China dan ia menjadikan program tersebut boleh dilaksana kerana ramai pengguna memiliki telefon bimbit di kawasan tersebut.  

"Kerajaan Malaysia telah memberi banyak perhatian kepada program Rural Taobao, kita memerlukan platform yang memberi tumpuan kepada e-dagang rentas sempadan ... walaupun Lazada bersifat setempat, saya harap ia mempunyai kapasiti," kata Song.

Di China, terdapat dua stesen Rural Taobao yang meliputi 3,000 penduduk di kawasan tertentu.

Di bawah program Rural Taobao, yang bermula pada 2015, pengendali stesen ditemu duga bersama dengan ujian bertulis berdasarkan pengetahuan tentang produk dan perkhidmatan Taobao, dan mereka dilengkapi dengan kereta penyerahan untuk menghantar bungkusan dari satu stesen ke stesen yang lain.

Seorang pengendali yang ditemubual oleh Bernama berkata,pelaburan dalam program hanya sedikit kerana peralatan disediakan oleh Alibaba dan pengendali hanya membayar deposit untuk barangan lain seperti komputer, televisyen dan meja, dan menyewa tempat untuk menjalankan operasi. - Bernama