QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), pengendali rangkaian restoran terbesar di rantau ini dengan lebih daripada 1,250 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja, melalui anak syarikat milik penuhnya, QSR Stores Sdn Bhd (QSR Stores) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB).

MoU berkenaan bagi menawarkan produk KFC serta perkhidmatan pandu lalu KFC kepada lebih ramai pelanggan Petronas di seluruh negara.

Dalam MoU antara kedua-dua pihak berkenaan, QSR Stores bakal menubuhkan 50 cawangan pandu lalu KFC di stesen minyak Petronas di seluruh negara, dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, kerjasama strategik bersama PDB ini membuka peluang baik kepada QSR Brands dalam usaha untuk memperluaskan perniagaan dan perkhidmatan restorannya.

“Sebagai peneraju pasaran dalam segmen perkhidmatan restoran makanan segera di Malaysia, kami mahu perkhidmatan kami sentiasa mudah untuk diperoleh para pelanggan.

"Di samping terus mengukuhkan jenama menerusi hidangan teras dan pelbagai inovasi produk dan perkhidmatan lain, kami meletakkan penekanan khusus terhadap strategi pembangunan kami supaya dapat memenuhi tuntutan pelanggan pada hari ini dan masa hadapan.

"PDB adalah peneraju pasaran dalam industrinya, terkenal sebagai penyedia bahan api yang paling dipercayai di negara ini. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat melebarkan lagi jaringan perniagaan kami bersama prestasi unggul Petronas di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed M Tahir berkata, sejak tahun 2003, perniagaan PDB dan QSR Brands telah mengecap kejayaan bersama hasil daripada kekuatan syarikat masing-masing.

"Kami berbesar hati menyambut komitmen QSR Brands untuk terus memperluaskan kedudukannya menerusi rangkaian stesen minyak Petronas kami. "Sebagai dua peneraju pasaran di dalam industri yang tersendiri, kerjasama strategik ini merupakan sebuah bukti kepada aspirasi kami untuk memperluaskan tawaran kepada para pelanggan dan terus memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.

"Kami juga bakal mempertimbangkan promosi secara usaha sama, kempen pemasaran dan program kesetiaan pelanggan dalam masa terdekat untuk memberi lebih ganjaran kepada para pelanggan kami," katanya.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Naib Presiden Kanan KFC Malaysia, Ling Mee Jiuan dan Ketua Bahagian Perniagaan Runcit, Petronas Dagangan Berhad, Aadrin Azly, dalam satu majlis yang diadakan di KFC Petronas TTDI Drive-Thru.