JOHOR BAHRU – Sehingga kini, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah mengeksport nanas MD2 ke China, sekitar 150 tan metrik sejak Oktober lalu.

Pengerusinya, Datuk Samsolbari Jamali berkata, bagaimanapun jumlah itu hanya dapat memenuhi 10 peratus permintaan.

Menurutnya, pihaknya menerima permintaan tinggi dari China yang mahu 20 kontena nanas MD2 dieksport ke negara itu setiap minggu.

“Bagaimanapun, kita hanya boleh sediakan dua kontena sahaja sehingga sekarang. Justeru, kita sentiasa menggalakkan petani atau pemain baru dalam industri ini menanam nanas MD2 secara komersial.

“Selain itu, kita turut menggalakkan petani yang telah sedia menanam nanas supaya bertukar kepada nanas MD2, tetapi ini bukan perkara mudah kerana nanas lain juga turut mendapat permintaan.

“Apatah lagi, nanas kini sudah termasuk dalam kategori buah-buahan sumber kekayaan baharu. Eksport nanas MD2 ke China dibuat secara berterusan pada setiap minggu,” katanya, semalam.

Samsolbari berkata, penembusan pasaran nanas MD2 ke China bukan sekadar dilihat memenuhi peluang semata-mata, tetapi ia satu bentuk cabaran.

“Cabarannya adalah sejauh mana kita dapat memenuhi permintaan dan mengekalkan kualitinya. Kita tidak mahu buat sambil lewa hingga akhirnya kena tolak.

“Segala protokol telah ditentukan negara pengimport, bukan kita yang menentukannya. Setakat ini, kita ada tiga pengusaha diterima untuk eksport nanas MD2 ke China.

“Mereka (China) sendiri datang ke ladang untuk melihat bagaimana proses, rawatan dan sebagainya, malah ia mengambil masa sehingga 10 tahun sebelum persetujuan dibuat. Jadi, usaha yang susah dan lama ini, sudah pasti kita tidak mahu bazirkan begitu sahaja,” katanya.

Menurutnya, pendapatan kalangan penanam nanas MD2 kini semakin meningkat.

“Mereka (penanam nanas MD2) boleh menerima purata pendapatan sehingga RM5,000 setiap bulan, manakala untuk nanas jenis lain pula menjangkau RM3,000 setiap bulan untuk keluasan satu hektar.

“Walaupun menanam nanas dilihat sukar kerana perlu berdepan duri, panas dan sebagainya, tetapi mereka puas hati hasil masing-masing, selain turut menyumbang kepada pembangunan industri nanas di negara ini,” katanya.