PENGELUAR produk berasaskan garam bukit Himalaya berjenama Aura Rezeki, JMV Global Sdn Bhd (JMV Global) mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan dan bakal menembusi pasaran Indonesia dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasasnya, Julinda Miswan berkata, JMV Global optimis, Aura Rezeki yang mempunyai 12 rangkaian produk berpotensi ke pasaran negara tersebut berikutan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan yang pernah menggunakannya.

"JMV menjangkakan peluasan pasaran Aura Rezeki ke Indonesia akan memacu peningkatan jualan produk tersebut. Setakat ini, Aura Rezeki berjaya dijual sebanyak 10,000 unit. JMV mengunjurkan jualan Aura Rezeki akan mencapai 100,000 unit sebulan.

"Kami optimis sasaran itu dicapai kerana syarikat mengadakan pelbagai strategi pemasaran merangkumi penambahan ejen dan stokis serta promosi agresif di media sosial  dan media cetak.

"Setakat ini kami mempunyai 10 stokis dan lebih 1,000 ejen seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura serta Jambi Indonesia yang kami latih melalui Akademi Aura Rezeki dalam bidang keusahawanan dan Aura," katanya.

Juliana berkata, JMV juga mendekati stokis dan pelanggan dengan penubuhan Akademi Aura Rezeki.

"Kebanyakan stokis dan ejen kami mampu menjana pendapatan kerana Aura Rezeki mendapat permintaan tinggi.

"Selain itu, Aura Rezeki juga mengeluarkan produk baharu iaitu Lampu Garam Mewangi yang mempunyai empat bentuk unik," katanya sambil memberitahu rangkaian produk Aura Rezeki dijual pada harga  serendah RM40 hingga RM110.