PROJEK pembangunan DesaVille di Meru, Klang, Selangor, yang dibangunkan pemaju hartanah milik Bumiputera, MSN Group of Companies (MSN), menerima sambutan hangat dengan kadar tempahan sebanyak 80 peratus, ketika dilancarkan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Masnawi Ariffin berkata, ia mencapai sasaran yang ditetapkan MSN, sekali gus menunjukkan pasaran hartanah di kawasan itu mempunyai permintaan tinggi.

"Rata-rata pelanggan berpuas hati dengan reka bentuk moden, tanah yang luas iaitu 20x102 kaki persegi, ruangan dalaman praktikal dan dilengkapi 'garden' 19x20 kaki persegi bagi setiap unit kediaman.

"Harga jualan pula sangat berpatutan dengan RM260 bagi setiap kaki persegi, berbanding nilai rumah yang terletak berhadapan dengan projek DesaVille, iaitu rumah berusia tujuh tahun dengan nilai RM310 untuk satu kaki persegi," katanya.

Masnawi berkata, projek pembangunan DesaVille yang merangkumi 30 unit kediaman teres dua tingkat dengan harga bermula RM585,000 dan lima unit lot kedai sudah 50 peratus dalam pembinaan, dan dijangka siap pada Mei 2018.

"Ia merupakan projek ke-2,000 unit rumah yang dibangunkan MSN, merangkumi projek yang berjaya disiapkan dan sedang dalam pembinaan, sepanjang 13 tahun kami dalam industri hartanah," katanya.

Majlis pelancaran DesaVille disempurnakan Ketua Kampung Meru, Thaifor Noor.

DesaVille yang terletak di Meru, Klang dihubungkan lima jaringan lebuh raya termasuk dua daripadanya yang dalam pembinaan, iaitu Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Shapadu, Lebuh Raya Pantai Barat dan Lebuh Raya Damansara-Shah Alam.

Ia juga terletak dengan kemudahan kenderaan awam, Transit Aliran Ringan (LRT 3), melibatkan laluan Bandar Utama-Klang, yang dijangka beroperasi pada 2020.

Dalam pada itu, Masnawi berkata, MSN akan membangunkan projek perumahan teres setingkat di Pulau Indah, Klang, yang mula pembinaannya pada Julai ini, dengan harga bermula RM250,000.

Selain itu, katanya, MSN juga bakal membangunkan 500 unit kediaman di atas tanah berkeluasan 40 ekar, melibatkan nilai pembangunan kasar berjumlah RM250 juta, sehingga 2020.

Antara lokasi yang bakal dibangunkan dalam projek itu termasuklah Pulau Indah, Klang; Sepang; Sungai Merab; Meru; Jalan Kebun dan pinggir bandar Shah Alam.

Pada masa sama, MSN turut menawarkan khidmat membangunkan rumah sesebuah ikut bajet pelanggan, di atas tapak tanah mereka sendiri.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.