CELCOM Axiata Berhad (Celcom) menjalin perkongsian eksklusif dengan Yonder Music Inc dari New York bagi membolehkan semua pelanggannya menikmati hiburan bertaraf dunia tanpa had menerusi aplikasi Yonder Music.

Ketua Pegawai Jualan dan Pemasarannya, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, kerjasama itu membolehkan pelanggan Celcom tidak dikenakan bayaran atau mengambil data internet ketika mereka menggunakan Yonder Music.

"Muzik antara hiburan diminati ramai, tetapi mereka terpaksa menggunakan data internet jika mahu mendengarnya. Namun, dengan aplikasi ini, pengguna boleh mendengar muzik tanpa had walaupun berada di dalam kapal terbang. Ia memudahkan pelanggan dan perkhidmatan ini bagus untuk perniagaan kami.

“Sebab itu Celcom bekerjasama dengan Yonder Music supaya pelanggan boleh berhibur dengan memuat turun muzik streaming berkualiti daripada rangkaian Celcom,” katanya ketika ditemui selepas mengumumkan perkongsian eksklusif antara Celcom dan Yonder Music Inc di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan/Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Berhad, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly dan Ketua Pegawai Eksekutif Yonder Music, Adam Kidron.

Zalman Aefendy berkata, aplikasi itu khas untuk pelanggan Celcom sahaja dan ia boleh dimuat turun menerusi Google Play atau App Store bermula semalam.

Katanya, Celcom menyasarkan sekurang-kurangnya sejuta pelanggan bakal memuat turun aplikasi itu sehingga hujung tahun depan.

"Pelanggan ini boleh terdiri daripada pelanggan sedia ada, mahupun yang baru. Bagi mereka yang bukan pelanggan Celcom, mereka boleh mendapatkan Xpac Magic Sim kami atau mendaftar pakej baharu, First Blue dan First Gold, yang dilancarkan baru-baru ini.

"Pelanggan boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma bermula semalam hingga 18 Disember ini," katanya.

Sementara itu, Kidron berkata, sebagai syarikat pendemokrasian perniagaan muzik, Yonder Music menyediakan pengalaman kepada pelanggan internet mudah alih tanpa sebarang kos tambahan, disamping memastikan artis dan komposer dibayar berkadar dengan jumlah lagu mereka dimainkan.

"Perkongsian Yonder Music dengan Celcom dan kerjasama kami dengan artis tempatan serta serantau akan meningkatkan pasaran muzik digital di Malaysia," katanya.

Sempena pelancarannya, Yonder Music merekodkan lagu Kau Ilhamku versi pop R&B baharu diterbitkan J-Key dan Russell Curtis di New York City, Kuala Lumpur dan Jakarta yang melibatkan artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Yuna, Aril Noah, Afgan Syahreza, Elizabeth Tan, Cita Citata, Joe Flizzow, Jaclyn Victor dan lain-lain.