BURSA Malaysia dibuka dengan nada lebih positif hari ini susulan rasa optimis pedagang yang didorong oleh peningkatan prestasi semalaman Wall Street, kata peniaga.

Pada jam 9.09 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.25 mata kepada 1,760.32 berbanding 1,753.07 sewaktu ditutup pada Rabu.

Penanda aras itu dibuka 1.12 mata lebih tinggi kepada 1,754.19.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 197 berbanding 92 manakala 223 kaunter tidak berubah, 1,414 tidak diniagakan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 159.27 juta unit bernilai RM84.07 juta.

Dow Jones ditutup 0.3 peratus lebih tinggi kepada  25,199.29 manakala  S&P 500 menokok 0.2 peratus untuk ditutup kepada 2,815.62.

Public Investment Bank Bhd menerusi satu nota penyelidikan berkata pasaran Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih tinggi, dipacu oleh saham perbankan dan berasaskan perusahaan berikutan pendapatan lebih baik daripada jangkaan yang diraih syarikat seperti Morgan Stanley dan CSX (pembekal utama pengangkutan berasaskan rel) yang hanya menyemarakkan lagi rasa optimis.

Di pasaran tempatan, saham berwajaran tinggi menyaksikan Maybank untung 19 sen kepada RM9.79, Public Bank naik 18 sen kepada RM23.88, CIMB menokok lima sen kepada RM5.90 sementara Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.85 dan Tenaga susut dua sen kepada RM14.86.

Bagi saham  aktif, Velesto Energy meningkat 1.5 sen kepada 29.5 sen, Revenue Group untung empat sen kepada 66.5 sen, Sapura Energy dan Sino Hua-An masing-masing menokok setengah sen kepada 60.5 sen dan 31.5 sen manakala Priceworth pula tidak berubah pada sembilan sen.

F&N muncul kaunter paling untung pada sesi dagangan awal dengan meraih 74 sen kepada RM38.50 manakala MNRB menjadi kaunter paling rugi apabila susut 20 sen kepada RM2.14.

Indeks FBM Emas pula menambah 44.77 mata kepada 12,420.99, Indeks FBMT 100 meningkat 44.63 mata  kepada 12,223.36 manakala FBM 70 meraih 34.22 mata kepada 15,157.86.

Indeks FBM Emas Shariah menokok 18.56 mata kepada 12,485.64 dan Indeks FBM Ace naik 32.97 mata kepada 5,440.54.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 147.76 mata kepada 17,398.00, Indeks Perusahaan naik 10.54 mata kepada 3,220.72 dan Indeks Perladangan menambah 20.18 mata kepada 7,513.02. -Bernama