Zulhisham beramah mesra dengan penerima pakej haji dan umrah daripada Al-Rajhi.
Al-Rajhi Bank menyasarkan untuk mengeluarkan 5,000 kad musafir menjelang akhir tahun ini.
Pemangku Pengarahnya, Zulhisham Zailan berkata, setakat ini, Al-Rajhi telah mengeluarkan 300 kad musafir baru kepada pelanggan.
“Sejak diperkenalkan 2008, kami telah mengeluarkan 10,000 kad musafir.
“Al-Rajhi turut menjadi satu-satunya bank yang menawarkan produk seperti ini,” katanya selepas menyerahkan hadiah kepada 15 pemenang akaun simpanan i-Zamzam berupa pakej haji dan umrah di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, Al-Rajhi bakal bekerjasama dengan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan ejen pelancongan bagi memudahkan produk ini diperoleh pelanggan.
Katanya, kad Musafir turut disasarkan kepada pelanggan yang ingin menunaikan haji dan umrah, yang berfungsi sebagai kad pengeluaran wang di hampir 3,100 mesin pengeluaran wang (ATM) seluruh Arab Saudi.
Beliau berkata, kad itu boleh diperoleh di 24 cawangan Al-Rajhi seluruh negara dengan nilai bermula RM500.
Sementara itu, Zulhisham berkata, Al-Rajhi akan membuka tiga lagi cawangan di Kuala Terengganu, Pulau Pinang dan Johor pada tahun depan.




