Agong jalani pemeriksaan kesihatan, rawatan susulan di IJN

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) bermula Sabtu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin berkata, pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu berhubung dengan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang telah dijalankan oleh Seri Paduka Baginda pada September 2020.

“Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh tersebut ekoran daripada perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di hospital-hospital awam termasuk di IJN.

“Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda juga turut berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN.

“Kesihatan Yang di-Pertuan Agong adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada 24 September 2020, Seri Paduka Baginda telah menjalani rawatan intervensi tersebut setelah pengimejan resonans magnetik (MRI) menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Baginda ketika bersukan.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhil berkata, Yang di-Pertuan Agong dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan tersebut.

“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: