Datuk Mohd Amar
A
A

KOTA BHARU - “Cukuplah dengan apa yang dijelaskan sebelum ini mengenai matlamat mahu dicapai jika saya terpilih,” kata calon Timbalan Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah,semalam. Kenyataan tersebut adalah sebagai mengulas cadangan Pensyarah Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof supaya diadakan forum untuk jawatan Timbalan Presiden Pas dan Naib Presiden Pas. Mohd Amar berkata, cara sedia ada yang digunakan kini untuk menyampaikan mesej kepada umum berhubung visi pencalonan baginya sudah memadai. “Insya-ALLAH saya sendiri sudah sampaikan sebab saya menawarkan diri untuk bertanding pada muktamar nanti dan selebihnya semua itu boleh dinilai sendiri oleh perwakilan,” katanya. Mohd Amar, yang memilih tidak menggunakan pendekatan debat seperti dicadangkan itu, bagaimanapun menilai perkara itu dalam bentuk positif untuk memberi ruang kepada calon. Dalam masa sama, beliau menyifatkan pertandingan pada Muktamar Pas ke-59  lebih kepada persaingan adik-beradik sebab itulah ia bergantung kepada pendekatan masing-masing. Sebelum ini, Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berikrar memberi keutamaan kepada membantu kepimpinan memperkukuhkan parti sekiranya terpilih menjadi timbalan presiden pada muktamar nanti. Jawatan Timbalan Presiden Pas kali ini menyaksikan pertandingan sengit antara Mohd Amar dan penyandangnya, Mohamad Sabu. Hampir 1,300 perwakilan dari seluruh negara akan menyertai muktamar ini yang akan diadakan di Shah Alam bermula 20 November ini.


×