Ali Rustam cabar Pas pecat Nasharudin

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam
A
A

MELAKA - Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mencabar Pas memecat Nasharudin Mat Isa sebagai anggota parti itu selepas menggugurkannya daripada pelbagai jawatan dalam parti itu.

Sambil mempersoalkan mengapa Pas tidak berbuat demikian, beliau berkata mungkin Pas takut kehilangan sokongan kerana bekas timbalan presiden Pas  itu masih mempunyai pengaruh yang kuat.

"Saya nak tengok apakah Pas berani pecat Nasharuddin...saya cabar Nik Aziz (Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan Hadi (Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pecat Nasharuddin.

"Mengapa mereka tak pecat, nampak mereka ini takut pada Nasharudin kerana beliau mungkin lagi hebat daripada pemimpin tertinggi Pas yang ada sekarang,"  katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Tun Sri Lanang, Sekolah Menengah Kebangsaan Malim dan penyampaian Anugerah Kecemerlangan PMR 2012 di sini, hari ini.

Beliau mengulas pemecatan Nasharuddin daripada Majlis Syura Ulama Pas dan tidak dicalonkan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bachok.

Sementara itu, Mohd Ali berkata pembinaan dewan bernilai RM520,000 hasil sumbangan kerajaan negeri dan Jabatan Perdana Menteri itu bertujuan menambahbaik kemudahan di sekolah tersebut. Di NIBONG TEBAL, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pemecatan Nasharuddin daripada Majlis Syura adalah hasil perasaan saling tidak mempercayai dan syak wasangka. Beliau menyifatkan tindakan pemecatan itu merupakan perpecahan dalam Pas yang mengamalkan politik taksub. "Kalau sesama pemimpin Pas pun mereka tak boleh bersatu...macam mana mereka nak bersatu dalam kepentingan ummah bersama orang Islam lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, dekat sini, hari ini. Beliau berkata, jika wujud perasaan saling tidak mempercayai dan syak wasangka sesama pemimpin dan anggota parti, mereka sebenarnya tidak layak untuk mentadbir kerajaan. - Bernama


×