X

Kindly register in order to view this article
!

Mereka amat cekap potong air, tapi...

TAN YEE KEW
A
A

KUALA LUMPUR - Sudah sampai masanya Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dipertanggungjawabkan atas kesusahan dialami pengguna air kerana kecuaian dan ketidakcekapan mereka.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew berkata, pihaknya sudah meminta peguam di pusat khidmat mereka mengkaji isu gangguan bekalan air yang didakwa sudah empat kali berlaku dalam tahun ini selain gagal memberikan notis.

"Ketika berlaku perkara ini, Pengurusan Air Selangor sering menyalahkan kilang mencemari sungai. Apakah Air Selangor sepatutnya bertanggungjawab memastikan sungai tidak tercemar? Mengapa tidak diletakkan penguat kuasa bagi memastikan keselamatan dan pencegahan?

"Mereka gagal melaksanakan penguatkuasaan mengelakkan pencemaran tetapi amat cekap melakukan pemotongan air jika pengguna tidak sempat membayar bil air.

"Tanpa amaran, tanpa notis.... hampir 1.5 juta warga Kuala Lumpur dan Selangor berdukacita serta terkejut apabila air secara tiba-tiba terputus. Cubaan menghubungi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula dijawab dengan nada deringan," katanya menerusi satu kenyataan dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Menurutnya, semalam pihaknya berusaha mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk membantu penduduk yang terjejas.

"Pada mulanya bomba bersetuju menyumbangkan satu lori tangki air namun kemudian memaklumkan tidak dapat membantu disebabkan 'tanker' hanya untuk kegunaan kecemasan.

"Kami berjaya memperoleh satu lori tangki sebelum membekalkan air kepada penduduk di kawasan yang terjejas teruk di Wangsa Maju," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!