Bekalan air di 417 kawasan pulih sepenuhnya

Tahap pemulihan bekalan air di tujuh daerah yang terjejas sejak pagi Khamis lalu.
Tahap pemulihan bekalan air di tujuh daerah yang terjejas sejak pagi Khamis lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguna di 417 kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air sejak pagi Khamis lalu sudah menerima bekalan air sepenuhnya setakat jam 6.30 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, 875 kawasan masih dalam proses pemulihan.

Menurutnya, secara keseluruhan, 32.28 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual telah pulih sepenuhnya.

"Daerah Kuala Selangor mencapai tahap pemulihan bekalan sebanyak 91.7 peratus; Hulu Selangor (94.12 peratus);

Petaling (37.17 peratus);Gombak (11.31 peratus) dan Klang/Shah Alam (7.91 peratus). Bekalan air di Kuala Lumpur dan daerah Kuala Langat masih belum pulih.

"Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau dalam pada itu memohon kerjasama pelanggan yang telah menerima bekalan agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Menurutnya, Air Selangor menyediakan pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat bagi pengguna mendapatkan bekalan air bersih.

Artikel Berkaitan:

"Air Selangor akan terus memaklumkan status terkini kepada pengguna dari masa ke masa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Terdahulu, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula pada jam 10 pagi Khamis lalu susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan air itu berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti bertugas akibat pencemaran itu.

Tujuh wilayah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.