Kampung Budaya Terengganu tarikan baharu di Muzium Negeri

Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) ketika membuat pengisytiharan Kampung Budaya Terengganu sempena Majlis Pelancaran Kampung Budaya Terengganu di Kompleks Muzium Negeri Terengganu hari ini. - Foto Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) ketika membuat pengisytiharan Kampung Budaya Terengganu sempena Majlis Pelancaran Kampung Budaya Terengganu di Kompleks Muzium Negeri Terengganu hari ini. - Foto Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Produk pelancongan baharu iaitu Kampung Budaya Terengganu di Kompleks Muzium Negeri, Losong di sini mula dibuka hari ini kepada orang ramai.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkampungan budaya yang mempunyai pelbagai tarikan yang berkonsepkan muzium hidup itu menghimpunkan pelbagai kesenian, kebudayaan dan warisan dari kesemua lapan daerah di negeri ini.

Beliau berkata, orang ramai bukan sahaja berpeluang menikmati pengalaman percutian bersejarah berlatar belakangkan suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu lama, malah boleh melihat secara dekat demonstrasi aktiviti tradisi yang diusahakan penduduk tempatan.

Demonstrasi memasak laksa Terengganu menggunakan alatan tradisonal turut disajikan kepada pengunjung.
Demonstrasi memasak laksa Terengganu menggunakan alatan tradisonal turut disajikan kepada pengunjung.

“Memandangkan Terengganu kaya dengan pelbagai khazanah seni warisan budaya yang sehingga kini masih dipelihara, kerajaan negeri mengambil inisiatif mewujudkan Kampung Budaya Terengganu yang akan dijadikan ‘one stop centre’ bagi membolehkan pengunjung menyelami sejarah warisan masyarakat dahulu kala.

“Sebagai sebuah produk pelancongan baharu, kita percaya Kampung Budaya Terengganu bukan sahaja menjulang semula seni budaya masyarakat Melayu dahulu kala, bahkan turut menjadi rujukan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kepelbagaian tradisi Masyarakat Terengganu seperti permainan dan peralatan tradisional yang berbeza-beza di setiap daerah boleh dilihat di Kampung Budaya berkenaan.

“Mungkin ada antara generasi muda tidak pernah lihat peralatan sebegini. Jadi ini ini adalah kesempatan terbaik untuk pelancong datang sekali lagi ke Terengganu bagi melihat seni, budaya dan warisan negeri yang terdapat di Kampung Budaya,” katanya kepada pemberitan pada sidang akhbar selepas merasmikan perkampungan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Antara tarikan yang melengkapkan suasana Kampung Budaya Terengganu di Muzium Negeri Terengganu.
Antara tarikan yang melengkapkan suasana Kampung Budaya Terengganu di Muzium Negeri Terengganu.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman dan Pengarah Pelancongan Terengganu, Ab. Rasid Jusoh.

Kampung Budaya Terengganu menawarkan tujuh perhentian iaitu Rumah Nelayan, Rumah Bujang Berserambi Selasar, Rumah Bujang Berkembar, Rumah Limas Belanda, Rumah Tele, Istana Tengku Long, Laman Singgahsana dan Laman Warisan.

Antara demonstrasi disediakan seperti pembuatan jala, bubu, keropok, seni dan ukiran khat, kayu, anyaman, wau, gasing, tembikar, tembaga, keris, pameran pakaian tradisional, mencanting batik, memasak bubur Asyura serta persembahan berzanji.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, sebagai permulaan, tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke perkampungan itu. Selepas tempoh ditetapkan, pengunjung akan dikenakan bayaran RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.

"Kita harap mereka tidak melepaskan peluang untuk melihat sesuatu yang menarik di sini yang jarang dapat dilihat,” katanya.

Permainan tradisonal kanak-kanak yang menjadi antara tarikan di Kampung Budaya Terengganu di Muzium Negeri.
Permainan tradisonal kanak-kanak yang menjadi antara tarikan di Kampung Budaya Terengganu di Muzium Negeri.

Ariffin berkata, beliau menjangkakan kira-kira 100,000 orang akan mengunjungi Kampung Budaya dalam tempoh sebulan ini.

“Kita amat menggalakkan kehadiran pengunjung ke sini kerana ia menyediakan pelbagai tarikan untuk tatapan mereka.

“Bagaimanapun, kita tetap mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) dalam menerima kehadiran pengunjung apabila mereka juga perlu mendaftar dengan MySejahtera serta membuat imbasan suhu badan bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan bebas daripada sebarang gejala penyakit sebelum mengunjungi kawasan ini,” katanya.