MUSA tetap guna logo baharu

Sulaiman (kiri) ketika menjadi tetamu pada Segmen Bicara Ketua Menteri di Melaka FM di Melaka hari ini.
Sulaiman (kiri) ketika menjadi tetamu pada Segmen Bicara Ketua Menteri di Melaka FM di Melaka hari ini.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) setakat ini tidak memberi sebarang halangan kepada Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) untuk menggunakan logo baharu yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Presiden MUSA, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, selepas logo itu dihantar kepada FAM, badan induk bola sepak negara itu tidak memberikan maklum balas negatif berhubung penggunaan logo baharu yang akan dimulakan pada musim 2021.

Menurut Sulaiman, beliau berharap logo baharu itu akan menjadi suntikan semangat kepada pasukan skuad Sang Kancil untuk menghadapi saingan Liga Malaysia di masa akan datang terutama apabila bertukar menjadi sebuah kelab.

"Pihak FAM sendiri memaklumkan kita tak ada masalah mengenai logo itu. Setakat ini, Insya-ALLAH logo ini masih boleh digunakan.

"Sekiranya kita dapat surat kata tak boleh guna, maka tak bolehlah. Tapi buat masa ini logo itu masih boleh digunakan," katanya selepas menjadi tetamu pada Segmen Bicara Ketua Menteri di Melaka FM di Melaka hari ini.

Terdahulu, logo baharu Melaka United FC menjadi tular dan menimbulkan kontroversi dalam kalangan peminat bola sepak tanah air berikutan reka bentuknya yang dikatakan persis sebuah syarikat daripada Australia.

Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, pemilihan logo baharu itu merupakan keputusan tepat memandangkan ia kelihatan ringkas, namun mempunyai maksud yang mendalam.

"Pada saya warna dan lambang pada logo baharu itu cukup ringkas dan mempunyai maksud yang mendalam. Dalam masa sama masih mengekalkan pokok kelapa dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan: