Letupan berkembar di gereja Filipina ragut 19 nyawa

Tentera dan orang awam antara yang maut dan cedera dalam letupan berkembar gereja di Jolo. - Foto PTV Twitter
Tentera dan orang awam antara yang maut dan cedera dalam letupan berkembar gereja di Jolo. - Foto PTV Twitter
A
A
A

MANILA - FILIPINA.Sekurang-kurangnya 19 maut manakala hampir 50 yang lain cedera susulan dua letupan bom di sebuah gereja Katolik di selatan Filipina hari ini, kata pihak berkuasa.

Letupan pertama berlaku dalam Gereja Our Lady of Mount Carmel di Pulau Jolo yang terletak di wilayah Sulu sekitar jam 8 pagi, ia diikuti letupan kedua di kawasan letak kereta gereja sama ketika pasukan keselamatan sedang cuba menangani letupan awal.

Ketua Polis Negara Filipina Oscar Albayalde berkata, sekurang-kurangnya 19 mangsa terbunuh manakala 48 yang lain mengalami kecederaan, sementara itu, laporan menyatakan mangsa yang terkorban terdiri daripada anggota pasukan keselamatan dan juga orang awam.

Gambar yang tersebar di laman sosial menunjukkan mayat bergelimpangan di luar gereja, manakala pasukan keselamatan menutup jalan utama, sementara mayat serta mangsa cedera dibawa ke hospital berdekatan.

"Saya telah mengarahkan pasukan kami untuk meningkatkan tahap keselamatan, berkawal di semua tempat ibadat dan tempat awam serta memulakan langkah proaktif untuk menghalang rancangan keganasan,"kata Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana dalam satu kenyataan.

Pulau Jolo telah lama berdepan ancaman militan Abu Sayyaf yang disenarai hitam oleh Amerika Syarikat dan Filipina sebagai organisasi pengganas kerana aktiviti pengeboman, penculikan dan pemenggalan kepala.

Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan. - AP

Artikel Berkaitan: