Beri peluang kepada anak muda gegar pentas politik Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SEORANG rakan Merak Jalanan rancak bercerita tentang hasrat bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menubuhkan parti baharu bertunjangkan orang muda.

Soalnya kepada Merak Jalanan, wajarkah parti itu ditubuhkan tatkala parti politik sedia ada sudah memiliki sayap pemuda masing-masing. Soalnya lagi, mampukah parti itu nanti menangkis sepak terajang politik Malaysia?

Satu soalan yang agak nakal diajukan apabila Merak Jalanan ditanya adakah sebab Syed Saddiq ‘dibuli’ beberapa ahli Parlimen senior ketika sidang Dewan Rakyat sebelum ini menjadi faktor beliau bertekad menubuhkan parti baharu.

Bila diajukan pelbagai persoalan tentang parti baharu ilham Syed Saddiq itu, Merak Jalanan sendiri tertanya-tanya: mampukah parti itu bertahan lama di pentas politik Malaysia jika ia ditubuhkan secara rasmi nanti?

Tetapi Merak Jalanan cuba bersikap positif. Macam orang tua sering berpesan, tak cuba tak tahu. Jadi sebaiknya, kita jangan memandang rendah kemampuan orang muda.

Merak Jalanan pasti Syed Saddiq sudah mempunyai pengalaman. Walaupun tak banyak tetapi beliau tahu gelora politik Malaysia. Paling penting, Syed Saddiq tentu mendapat banyak ilmu daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengalaman dalam Kabinet kerajaan Pakatan Harapan tentunya menjadi azimat buat Ahli Parlimen Muar itu menubuhkan parti baharu yang khabarnya daripada pelbagai kaum.

Khabarnya juga parti baharu itu nanti bakal dibarisi golongan muda teknokrat, profesional serta ahli akademik. Itu sesuatu yang harus dipuji kerana suara anak-anak muda tidak harus diketepikan sama sekali.

Artikel Berkaitan:

Bagi Merak Jalanan, sudah sampainya masanya landskap politik Malaysia berubah mengikut peredaran zaman – tidak hanya terdiri daripada jagoan politik yang sama, lebih-lebih lagi sekadar dipenuhi golongan aristokrat politik.