X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Pemimpin muda perlu tambah ilmu

Syahir ketika menjadi panel Wacana Siri ke-189 bertajuk ‘Orang muda: Kenapa perlu parti baharu yang disiarkan secara langsung di di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A

SHAH ALAM – Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Abdul Rahman perlu menambah lagi ilmu pengetahuan sebelum menubuhkan parti yang mewakili suara anak muda.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Syahir Sulaiman berkata, ini kerana skop berpolitik di Malaysia bukan hanya terhad dengan menubuhkan parti semata-mata, sebaliknya konsepnya lebih luas dan banyak pertimbangan perlu dilakukan.

Menurutnya, sistem pilihan raya di negara ini juga berbeza dengan negara lain sebagai contoh Indonesia atau Perancis yang memenangkan satu tokoh sahaja.

“Naratifnya saya bersetuju (tubuh parti anak muda) tetapi dalam semangat demokrasi, jangan kecilkan skop berpolitik dengan hanya menubuhkan parti politik semata-mata dan menjadi ahli serta calon untuk mewakili parti itu.

“Sebab itu bila Syed Saddiq cadang mahu tubuh parti baharu, saya minta beliau berehat dulu dalam politik, tambah ilmu pengetahuan banyak.

"Bukan bermaksud tidak layak atau tiada kredibiliti, sebaliknya saya sengaja lontarkan ungkapan tersebut untuk beliau membuka minda dan boleh melihat dari perspektif berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Siri ke-189 bertajuk ‘Orang muda: Kenapa perlu parti baharu yang disiarkan secara langsung di di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia perlu iktiraf pemimpin muda: Syed Saddiq

Katanya, inisiatif diambil Ahli Parlimen Muar itu untuk menubuhkan parti mewakili suara orang muda perlu disusuli dengan langkah berani.

“Tak dinafikan ia satu idea berani dan radikal. Tetapi ia bergantung kepada situasi semasa juga dan perlu difahamkan politik ini siasah yang panjang, ada kepayahannya.

“Dalam politik tidak ada keterbatasan umur, polisi dan sebagainya. Perjuangan untuk mengisi kemerdekaan ini panjang, sampai bila-bila. Kalau diberi peluang, perlu timba ilmu dahulu, langkah itu masih panjang.

“Bukan niat untuk menghalang beliau tetapi saya lihat potensinya lebih besar kepada negara. Biar beliau ‘asah’ kapak dahulu, biar lebih tajam,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya dakwaan mengatakan suara anak muda dalam parti Islam itu tidak didengari pimpinan lama parti serta semakin lesu, beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden Pas berkata, gabung jalin antara pimpinan lama dan anak muda dalam Pas menjadi kekuatan parti berusia lebih 60 tahun itu bertahan sehingga kini.

"Gabungan kedua-duanya membawa agenda perjuangan Pas ke akar umbi. Saya kira satu konsep yang biasa kita dengar tentang gabung jalin antara pemimpin lama dan anak muda dalam sesebuah parti politik.

“Hikmah kebijaksanaan orang lama dan semangat serta keberanian anak muda bergabung bagi membantu menjadikan satu-satu parti politik terutama Pas lebih kuat,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!