Guan Eng dakwa ditahan imigresen ketika masuk Sabah

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa beliau ditahan oleh Jabatan Imigresen Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, malam tadi. Gambar kecil: Tangkap layar Twitter Guan Eng
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa beliau ditahan oleh Jabatan Imigresen Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, malam tadi. Gambar kecil: Tangkap layar Twitter Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa beliau ditahan oleh Jabatan Imigresen Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, malam tadi.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau yang tiba di lapangan terbang berkenaan pada jam 11.54 malam dengan diberikan pas lawatan sosial pada awalnya berjaya melepasi pihak imigresen namun kemudian ditahan ketika hendak masuk ke dalam kereta.

"Sudah hampir nak masuk kereta, seorang pegawai imigresen kanan datang, minta saya masuk semula. Saya berikan kerjasama dan ikut ke pejabat imigresen.

"Selepas menunggu 20 minit, saya tanya apa masalahnya? Mereka mendakwa bahawa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah meletakkan halangan untuk saya masuk ke Sabah. Apa ni? Bukankah ini kuasa kerajaan negeri Sabah?" kata Guan Eng di Twitternya, sebentar tadi.

Menurut Guan Eng, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pula dihalang memasuki Sabah meskipun menghadapi kes di mahkamah.

"Najib Razak yang didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta boleh masuk tanpa masalah. Zahid Hamidi yang sedang berdepan kes mahkamah pun boleh masuk tanpa masalah. Mengapa saya dihalang masuk ke Sabah? Ini lagi satu kes antara dua darjat, 'double standard' kah?

"Sedangkan ini kuasa kerajaan negeri dan bukan kuasa kerajaan Pusat. Adakah ini satu lagi usaha campur tangan (kerajaan) Pusat terhadap hak dan kuasa negeri?" persoal Guan Eng.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, beliau dibenarkan memasuki negeri itu selepas setengah jam ditahan oleh pihak imigresen.

Artikel Berkaitan:

"Tak apalah, nanti saya akan tanya Ketua Menteri Datuk Seri (Mohd) Shafie Apdal, adakah beliau tak mahu saya masuk Sabah?" katanya lagi.

Dalam pada itu, pihak SPRM menafikan meletakkan sebarang halangan menghalang Guan Eng memasuki Sabah.