109,172 peminjam lulus lanjutan moratorium bersasar

Mohd Shahar merakam kenangan bersama warga pendidik pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di Dewan Kompleks Sukan UMP hari ini.
Mohd Shahar merakam kenangan bersama warga pendidik pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di Dewan Kompleks Sukan UMP hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Institusi perbankan di negara ini sudah meluluskan lanjutan moratorium bersasar membabitkan 109,172 pemohon dalam tempoh dua minggu bermula 7 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, sebanyak 4,300 pemohon daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga mendapat kelulusan sama selepas mereka membuat permohonan itu.

Menurutnya, itu rekod yang diterima selepas pihak bank melaksanakan program lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik pembiayaan.

"Saya difahamkan semua bank telah berkongsi maklumat dan perincian mengenai langkah ini di laman sesawang mereka. Setakat 21 Ogos lalu pihak bank telah menghubungi kira-kira 1,015,848 peminjam yang merangkumi 908,773 individu, 94,685 pemohon PKS dan 12,390 syarikat lain-lain termasuk perniagaan korporat dan komersial bagi menawarkan bantuan pembayaran balik pembiayaan.

"Namun, respons yang diterima tidak memuaskan kerana masih ramai (peminjam) tidak tampil menghubungi pihak bank... ini amat merisaukan kerana institusi perbankan dan kerajaan cuba membantu mereka dengan lanjutan moratorium pembiayaan selama tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan serta terjejas susulan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di Dewan Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini.

Seramai 578 kakitangan daripada pelbagai peringkat jawatan di bawah Pendidikan Daerah Kuantan (PPD) telah terpilih untuk menerima anugerah itu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Zaimi Abu Bakar dan Pegawai PPD Kuantan, Miftah Surif.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai tempoh moratorium yang berakhir hujung bulan ini, Mohd Shahar berkata, kerajaan tidak meneruskan penawaran moratorium secara automatik kepada semua peminjam tetapi memperkenalkan moratorium bersasar sehingga hujung tahun ini.

Katanya, perkara itu sudah diputuskan dan peminjam atau PKS diminta untuk berurusan dengan bank masing-masing bagi mendapatkan perkhidmatan moratorium bersasar itu.

"Tempoh bagi memohon moratorium bersasar hanya tinggal 28 hari lagi... proses kelulusan juga ambil masa, jadi kalau boleh saya nasihatkan mereka yang layak menerima moratorium bersasar ini segera ke bank atau institusi kewangan untuk perbincangan.

"Peluang ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh mereka (peminjam) terutamanya yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan terjejas teruk akibat Covid-19. Pergi ke bank dan berbincang dengan pihak bank untuk memudahkan pengurusan kewangan mereka kerana kita pun tidak pasti sampai bila masalah (Covid-19) akan berakhir," katanya.