Trudeau pecat duta Kanada ke China

John McCallum.- Foto Canadian Press
John McCallum.- Foto Canadian Press
A
A
A

OTTAWA - KANADA.Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, dilaporkan memecat duta negara itu ke China, John McCallum.

Pemecatan dibuat susulan komen McCallum berhubung kes ekstradisi eksekutif kanan syarikat telekomunikasi Huawei, Meng Wanzhou.

"Saya mengarahkan dan telah menerima peletakan jawatan John McCallum sebagai duta Kanada ke China," kata Trudeau dalam satu kenyataan tanpa memberi butiran lanjut.

Menurut Trudeau, diplomat veteran berkenaan telah berkhidmat dengan cemerlang dan beliau berterima kasih kepada McCallum dan keluarganya.

Terdahulu, McCallum dilaporkan 'menyebelahi' China apabila berkata permintaan ekstradisi Amerika Syarikat (AS) terhadap Ketua Pegawai Kewangan Huawei itu tidak harus dipenuhi.

Namun, beliau kemudian mengakui 'tersalah cakap' dan berasa kesal kerana kenyataannya telah menyebabkan 'kekeliruan'.

Hubungan Kanada dan Beijing menjadi keruh susulan penahanan Wanzhou oleh Kanada atas permintaan AS yang menuduh beliau mengelak sekatan yang dikenakan Washington ke atas Iran. - BBC

Artikel Berkaitan: