Maqis rampas 245 pokok hiasan

Pokok hiasan yang tiada Permit Eksport Maqis yang cuba dibawa ke Singapura melalui KSAB, Johor Bahru hari ini.
Pokok hiasan yang tiada Permit Eksport Maqis yang cuba dibawa ke Singapura melalui KSAB, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan membawa keluar 245 pokok hiasan tanpa permit eksport ke Singapura bernilai RM2,430 di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini hari ini.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori kira-kira jam 9 pagi menemui tujuh jenis pokok hiasan berlainan spesies antaranya daripada spesies spider lily, cordyline, baphia nitida dan lain- lain.

"Kesemua 245 pokok hiasan tersebut dipercayai dibawa keluar untuk pasaran Singapura. Ia ditahan kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti Permit Eksport Maqis dan sijil fitosanitasi," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya, perbuatan mengeksport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport yang sah daripada Jabatan Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan: