X

Kindly register in order to view this article
!

Pahang sambut merdeka norma baharu

A
A

KUANTAN - Sambutan Bulan Kemerdekaan 2020 Peringkat Negeri Pahang diadakan secara tertutup di Stadium Tertutup Sukan Pahang (Sukpa) di sini semalam dengan norma baharu ketika negara masih menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

Kehadiran tetamu jemputan disambut dengan pemeriksaan suhu dan kesihatan oleh pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sebelum dibenarkan memasuki pekarangan Sukpa selain tempat duduk yang sudah ditentukan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang berkenan menyempurnakan atur cara Kawalan Kehormatan Utama Hormat Diraja sekitar jam 9 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, sambutan merdeka norma baharu menggariskan beberapa panduan yang perlu dipatuhi termasuk mengehadkan jumlah tetamu, penjarakkan fizikal dan pemeriksaan suhu badan serta kesihatan.

"Acara juga diadakan seminimum mungkin bagi memastikan kemeriahan bulan kemerdekaan dapat dihayati bersama-sama. Program hari ini turut dipancarkan terus menerusi Unit Komunikasi Media Negeri Pahang dan Facebook Kerajaan Negeri," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Burhah Mohamad dan barisan Exco Kerajaan Pahang serta Kerabat Bergelar.

Turut diadakan ialah acara menaikkan bendera diiringi nyanyian lagu Negaraku dan lagu Allah Selamatkan Sultan Kami.

Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Pahang memeriahkan acara dengan persembahan koir, bacaan Ikrar dan laungan Merdeka, deklamasi sajak dan seni pasir.

Selain itu diadakan juga persembahan drumline pancaragam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), persembahan kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pantomim Pertempuran Sungai Chalit Raub dan persembahan tempur tanpa senjata oleh pasukan keselamatan negara.

Persembahan puisi Selamat Hari Pahlawan Buat Abah dan persembahan artis jemputan Roslan Madun, Ernie Zakri dan Apak Khalifah turut mencuri tumpuan umum.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!