Nombor plat 'UTM' sudah terjual hampir 1,000 nombor

Mazlan (tengah) melihat kenderaan yang memakai nombor plat khas 'UTM' selepas merasmikan Konvoi Merdeka UTM di Dapur Lesung, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar hari ini.
- FOTO: BERNAMA
Mazlan (tengah) melihat kenderaan yang memakai nombor plat khas 'UTM' selepas merasmikan Konvoi Merdeka UTM di Dapur Lesung, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar hari ini. - FOTO: BERNAMA
A
A
A

JOHOR BAHRU - Nombor pendaftaran khas kenderaan ‘UTM’ yang dibuka bidaan jualan sejak 2 Disember tahun lepas, sudah terjual hampir 1,000 nombor yang melibatkan nilai RM1.6 juta.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Mohd Hamdan Ahmad berkata, universiti itu yang merupakan universiti pertama menjual nombor pendaftaran khas di negara ini, menyasarkan untuk mengutip lebih RM15 juta menerusi jualan berkenaan bagi mengisi dana Tabung Endowmen.

“Kami sudah mendekati 1,000 nombor terjual dan ada baki 9,000 nombor lagi untuk dijual dalam masa dua tahun sebab perjanjian dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah dalam tempoh tiga tahun,” katanya yang ditemui pemberita pada penutup Konvoi Merdeka UTM 2020 di Yayasan Warisan Johor, di sini hari ini.

Mohd Hamdan berkata, pelbagai promosi akan digiatkan UTM untuk mencapai sasaran jualan berkenaan termasuk menerusi konvoi yang dilakukan hari ini.

Beliau berkata, daripada 1,000 nombor yang sudah dijual berkenaan, bidaan tertinggi adalah melibatkan nilai RM100,000.

“Kesemua nombor pendaftaran khas kenderaan berkenaan bukan sahaja dibeli staf, pelajar dan alumni UTM malah orang awam di seluruh negara.

“Bagi menarik pembeli, UTM turut menawarkan diskaun sempena merdeka, antara 25 peratus dan 50 peratus mengikut kategori staf, pelajar, alumni serta orang awam mulai 1 Ogos lepas hingga 16 September depan,” katanya.

Sementara itu, mengenai konvoi berkereta dan motosikal tersebut, Mohd Hamdan berkata, ia bertujuan menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara khususnya mengukuhkan hubungan antara UTM dan alumninya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, konvoi tersebut yang bermula di Padang Kawad, UTM telah melalui beberapa lokasi termasuk Dewan Raya Gelang Patah dan Kota Iskandar sebelum berakhir di Yayasan Warisan Johor.- Bernama