Lelaki maut kereta terjunam dalam tali air

Anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam tali air. Gambar kecil: Mohd Hisham
Anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam tali air. Gambar kecil: Mohd Hisham
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Saga Iswara Aeroback yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam tali air di Jalan Pasir Puteh - Kota Bharu berhampiran Kampung Banir Belikong, Selising di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu mangsa, Mohd Hisham Mohd Hashim, 42, yang berasal dari Kubang Kerian maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Difahamkan, kereta yang dipandu Mohd Hisham dari arah Pasir Puteh dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas dan terjunam ke dalam tali air.

Seorang saksi, Muhammad Arif Adnan, 22, yang juga peniaga ayam berkata, ketika kejadian dia sedang berehat sambil menunggu pelanggan di kedainya yang terletak kira-kira 10 meter dari tali air tersebut.

"Saya kemudian dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta yang secara tiba-tiba hilang kawalan, lalu terbabas dan terjunam ke dalam tali air.

"Saya dan orang ramai cuba membantu tetapi tidak berjaya disebabkan keadaan persekitaran yang sukar. Salah seorang daripada kami kemudiannya menghubungi bomba," katanya.

Keadaan kereta yang dipandu Mohd Hisham terjunam ke dalam tali air di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu berhampiran Kampung Banir Belikong, Selising tengah hari tadi.
Keadaan kereta yang dipandu Mohd Hisham terjunam ke dalam tali air di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu berhampiran Kampung Banir Belikong, Selising tengah hari tadi.

Sementara itu, ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan II Jaafar Jusin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 1.24 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

"Seramai lapan anggota termasuk pegawai telah dikerah ke lokasi untuk tugas membantu dan menyelamat mangsa.

"Bomba mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang ketika itu sudah meninggal dunia," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.