Bila hati sudah tiada

Aksi Sumareh ketika Pahang menentang Perak di Stadium Darul Makmur, Kuantan tahun lalu. Foto PAHANG FA
Aksi Sumareh ketika Pahang menentang Perak di Stadium Darul Makmur, Kuantan tahun lalu. Foto PAHANG FA
A
A
A

JODOH pemain naturalisasi pertama skuad Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh bersama Pahang dilihat seakan-akan semakin menghampiri titik noktah.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang memberitahu, Sumareh seperti sudah tidak mempunyai hati bersama Tok Gajah selepas tidak menjalani sesi latihan hampir sebulan.

Menurutnya, Sumareh seharusnya bertindak profesional memandangkan Pahang menjadi pasukan yang banyak membantu menaikkan namanya dalam arena bola sepak tempatan.

“Sudah tentu kami kecewa dengan apa yang dilakukan Sumareh. Dia sepatutnya menjadi seorang pemain yang kenang jasa, apatah lagi kami banyak membantunya untuk dapatkan kerakyatan dan sebagainya. Dia perlu ingat, kalau ikutkan dia ‘lahir’ di Pahang.

“Kalau nak keluar (menyertai pasukan lain) pun kami bagi tapi datanglah berjumpa secara gentleman. Jangan buat tindakan tidak hadir ke sesi latihan dan sebagainya kerana nampak ia satu perbuatan tidak matang sebagai seorang pemain profesional. Betul dia boleh protes atas sebab tertentu tetapi ini bukan cara yang betul.

“Saya berharap pemain lain tidak ikut seperti apa yang dilakukan Sumareh ini kerana ia menampakkan sisi negatif untuk industri bola sepak negara kita,” katanya kepada media selepas Kongres Tahunan FAM ke-56 di Petaling Jaya semalam.

Dalam masa sama, beliau berkata, perkara tersebut telah dibawa ke peringkat tertinggi PBNP dan Sumareh bakal dikenakan tindakan disiplin atas perbuatannya itu.

“Buat masa ini, saya tidak boleh komen mengenai tindakan disiplin sebab ia masih dalam perbincangan pihak atasan. Sumareh masih ada kontrak bersama Pahang yang akan berakhir pada 2022 dan apa yang boleh saya simpulkan dia sudah tidak ada hati bersama pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Kami ada berhubung dengannya, tetapi macam saya katakan bila dia sudah tiada hati bersama Pahang, macam-macam alasan diberikan kepada kita,” jelasnya.

Beliau turut mengesahkan PBNP tidak menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana pasukan untuk mendapatkan Sumareh yang kini dikaitkan dengan pasukan JDT.

“Banyak spekulasi yang timbul ketika ini. Mungkin ada pasukan berminat berhubung secara peribadi dengannya. Bagi PBNP, kami tidak ada pengetahuan langsung mengenai perkara tersebut,” ujarnya.

“Buat masa sekarang saya tak boleh komen dari sudut tindakan. Cuma saya melihat dalam hal ini, hati Sumareh mungkin tidak lagi bersama Pahang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke-56 di Petaling Jaya semalam.

Sumareh menerusi laman sosial Instagram peribadinya pula tampil memohon maaf atas apa yang berlaku sambil memberi bayangan tentang masa depannya bersama Tok Gajah musim depan.

“Saya tidak berniat memungkiri janji mengenai sokongan saya terhadap pasukan berprestij ini. Kadangkala apa yang berlaku tidak seperti yang diharapkan. Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas lanjut. Hanya masa yang akan menentukan segala-galanya,” ujarnya.