Jersi baharu Perak tak banyak beza

Ahmad Faizal melambai kepada orang ramai sejurus tiba ke majlis berkenaan.
Ahmad Faizal melambai kepada orang ramai sejurus tiba ke majlis berkenaan.
A
A
A

IPOH - Kit jersi pasukan Perak 2019 yang bakal dilancarkan sebentar tadi dikhabarkan tidak banyak berbeza berbanding jersi musim lalu.

Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia dibuat sedemikian bagi mengekalkan status pasukan selaku juara bertahan Piala Malaysia.

"Kita tidak buat banyak sangat perbezaan daripada jersi lama kerana ia adalah kit juara Piala Malaysia 2018.

"InsyaALLAH pada tahun ini kita akan cuba sebaiknya dan kali ini juga kita akan bertanding di peringkat antarabangsa.

"Dalam peringkat antarabangsa kit itu juga akan bawa mesej dari negeri Perak untuk berhenti merokok (quit smoking) termasuk pesanan daripada Lembaga Air Perak (LAP) untuk jimatkan air," katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Perak 2019 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), tadi.

Tambah Faizal, kedua-dua pesanan berkenaan juga akan dibawa ke peringkat Asia.

"Hari ini kita akan dapat lihat mesej ini tertera di jersi pasukan kita dan saya harap kepada semua ibu dan ayah di sini untuk mendidik anak kita untuk jadi orang berjaya.

Artikel Berkaitan:

"Beli jersi dan pastikan anak kita pakai dengan bangga dengan mesej 'quit smoking dan save water," katanya.

Sementara itu, bagi mengulas berhubung penganjuran acara gilang-gemilang bagi majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain itu, Ahmad Faizal berkata, ia selaras dengan status skuad The Bos Gaurus itu selaku juara bertahan Piala Malaysia.

"Kita hadir kerana konsert. Kita nak saksikan pertunjukkan hebat. Saya dengar rakan-rakan berkata kenapa tahun ini Perak nak adakan acara pelancaran gilang-gemilang?

"Saya kata tahun lepas tak macam ni? Kerana tahun ini kita juara Piala Malaysia. Harap semua terhibur dan terus berikan sokongan kepada pasukan Perak," katanya.