Gara-gara seluar pendek!

Dua pengundi dilihat meninggalkan Pusat Mengundi SK Aminuddin Baki selepas tidak dibenarkan masuk untuk mengundi kerana memakai seluar pendek.
Dua pengundi dilihat meninggalkan Pusat Mengundi SK Aminuddin Baki selepas tidak dibenarkan masuk untuk mengundi kerana memakai seluar pendek.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Proses mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Aminuddin Baki hari ini kecoh seketika.

Ia susulan tindakan beberapa pengundi warga emas yang berang selepas tidak dibenarkan masuk mengundi kerana memakai seluar pendek.

Dalam kejadian sekitar jam 8 pagi itu, seorang daripada mereka menjerit sambil berkata, ini kali pertama dia tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian atas kesalahan pakaian.

Dia kemudiannya dilihat meninggalkan pusat pengundian itu.

Seorang lagi warga emas yang dikenali Yoong tidak dapat menahan rasa kecewa dan bertindak mengoyak kad maklumat pengundi yang diedarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kalau macam ini, saya tidak mahu mengundi,” katanya sebelum beredar.

Selepas 10 minit insiden itu berlaku, kelihatan beberapa pengundi yang sebelum ini dihalang masuk kembali ke pusat pengundian dan antara mereka telah memakai seluar panjang.

Ejen sebuah parti dikenali Wee ketika ditemui Sinar Harian berkata, dianggarkan lebih 10 pengundi pulang tanpa mengundi kerana kecewa.

Artikel Berkaitan:

“Mereka semua orang kampung, tak kan datang ke sini mahu pakai cantik-cantik macam nak pergi pejabat.

“Ada yang lepas mengundi mahu terus pergi kerja,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai yang memakai pas SPR berkata, berlaku salah faham dalam soal etika pakaian ke pusat pengundian.

Katanya, selepas penjelasan tersebut, pengundi yang memakai seluar pendek dibenarkan masuk.

Sebelum ini, SPR menjelaskan pihaknya tidak pernah menetapkan etika berpakaian seperti kehadiran ke pejabat bagi pengundi ke pusat pengundian.