Jang dituntut pamer rentak bertenaga berdepan TFC II

Aksi persahabatan antara Negeri Sembilan dan Felda United pada 15 Ogos lalu.
Aksi persahabatan antara Negeri Sembilan dan Felda United pada 15 Ogos lalu.
A
A
A

Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidon menuntut anak-anak buahnya mempamerkan aksi bertenaga apabila melayan kunjungan pendahulu Liga Premier, Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Sedar TFC II bertandang dengan rekod tanpa kalah, Sazali mahu pemain-pemainnya mengambil pengalaman dalam tiga aksi persahabatan sebelum ini untuk diterjemahkan dalam bentuk tiga mata pada perlawanan itu.

“Kita bakal mengharungi baki tujuh perlawanan liga dengan empat aksi di laman sendiri, bermula dengan perlawanan menentang TFC II. Jadi saya mahu setiap pemain memanfaatkan peluang ini dengan meraih tiga mata.

“Baki tiga perlawanan lagi adalah menentang Selangor 2, Kuching FA dan Sarawak United yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha memperbaiki kedudukan pasukan dalam liga.

“Saya percaya barisan pemain terbaik yang diturunkan pada perlawanan ini mampu menghasilkan keputusan positif setelah kita melakukan ‘bedah siasat’ selepas mengharungi tiga aksi persahabatan menentang Selangor, Felda United dan PDRM baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tiga lagi aksi melibatkan skuad Hoben Jang Hoben di laman lawan adalah menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya; Perak II (Stadium Majlis Perbandaran Manjung) dan Kelantan (Stadium Sultan Muhammad IV).

Pada masa sama, Sazali menyifatkan turut perubahan jadual Liga Malaysia (Liga-M) yang diumumkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan kelegaan kepada setiap pasukan dalam mengharungi baki saingan liga, sekali gus memastikan pemain-pemain mendapat rehat secukupnya.

“Jika kita lihat jadual sebelum ini sememangnya terlalu padat. Ia akan menjejaskan momentum setiap pasukan dan mengundang risiko kecederaan dalam kalangan pemain dalam mengharungi baki perlawanan.

Artikel Berkaitan:

“Jadual baharu kali ini lebih realistik kerana jarak perlawanan yang agak jauh seterusnya membolehkan semua pasukan dapat membuat persediaan lebih rapi dan paling penting, pemain-pemain mendapat rehat yang cukup,”ujarnya.

Selepas mengharungi empat perlawanan sebelum Liga-M ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, Negeri Sembilan kini menghuni tangga ke-10 liga dengan mengumpul tiga mata apabila melakar satu kemenangan dan tiga kekalahan.