Pematuhan SOP sudah jadi kebiasaan di sekolah

Dr Mohd Radzi ketika ditemui pemberita hari ini.
Dr Mohd Radzi ketika ditemui pemberita hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan pelajar sudah menjadi satu kebiasaan di sekolah.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, dalam siri lawatannya ke sekolah-sekolah, didapati pelajar mengamalkan SOP dengan baik termasuklah ketika berada di tempat berkumpul seperti di kantin.

"Dalam konteks sekolah, pematuhan itu berada cukup baik.

"Seperti hari ini saya baru sahaja melawat ke tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trolak Selatan, SMK Slim River dan Kolej Vokasional Slim dan alhamdulillah kita lihat pematuhan itu sudah menjadi satu kebiasaan.

"Apabila kita ke kantin, kita boleh tengok pelajar-pelajar ini beratur dengan penjarakkan fizikal yang jelas," katanya.

Beliau berkata, kementerian mempunyai garis panduan yang lengkap berkaitan SOP pencegahan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan setakat ini, semua sekolah mematuhi garis panduan itu.

Katanya, jika berlaku kes-kes tertentu, maka kementerian akan mengadakan perbincangan bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Kementerian Kesihatan untuk melihat kaedah terbaik menanganinya.

"Sekiranya dinasihatkan dan telah dibincangkan terdapat keperluan sebagai contoh untuk kita menutup sekolah-sekolah tertentu, maka kita akan ambil pendekatan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

"Oleh yang demikian, saya mohon ibu bapa untuk memberi keyakinan kepada kementerian. Jika berlaku apa-apa Insya-ALLAH kita akan lakukan yang terbaik berdasarkan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan," katanya.

Terdahulu, Dr Mohd Radzi mengadakan kunjungan ke kediaman pasangan pesara guru, Che Rosnah Zainol, 60, dan Mohd Nadzri Mohd Nadzir, 62, di Taman Bandar Baru, Slim River di sini.