PRK DUN Slim: MCA yakin sokongan pengundi Cina 50 peratus

DR HANG SOON
DR HANG SOON
A
A
A

TANJUNG MALIM - MCA yakin mampu menarik sokongan kira-kira 50 peratus pengundi Cina pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim kali ini.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pengundi Cina yang mengundi BN hanyalah kurang daripada 20 peratus.

Menurutnya, perubahan sokongan itu didorong prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mentadbir negara dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan selama 22 bulan.

"Rakyat dapat melihat bagaimana mereka ditipu dengan janji-janji manifesto yang gagal dilaksanakan oleh PH. Mereka begitu marah kerana ditipu seperti itu. Begitu juga jurang perkauman yang begitu tegang ketika zaman pentadbiran PH.

"Namun kini rakyat berada dalam keadaan sangat selesa malah hubungan antara kaum sangat baik ketika era pentadbiran kerajaan PN ketika ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.

Dr Hang Soon berkata, rakyat sudah dapat menilai selama ini mereka tertipu dengan pelbagai janji yang mustahil untuk ditunaikan dan mereka belajar daripada kesilapan lalu agar perkara sama tidak berulang.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 90 peratus keluar mengundi awal

Katanya, keyakinan masyarakat Cina semakin terhakis kerana mereka cakap tak serupa bikin malah meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, paling ketara adalah bagaimana kerajaan PN menguruskan penularan koronavirus (Covid-19) dengan cara yang lebih meyakinkan berbanding kerajaan PH.

"Kita yakin rakyat tidak mahu lagi tertipu untuk kali kedua dengan janji-janji kosong yang tidak realistik. Setelah rakyat meletakkan harapan yang sangat tinggi akhirnya ia tidak seperti apa yang diharapkan. Apa yang mereka mahukan sebuah kerajaan yang dapat melaksanakan agenda untuk rakyat dan bukan berpolitik sepanjang masa.

"Begitu juga di DUN Slim ini. Kita akan membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi rakyat khususnya isu banjir. Kita benar-benar serius untuk mengatasi isu tersebut tambahan pula kita sudah menjadi kerajaan," katanya.

Dr Hang Soon berkata, MCA yakin masyarakat Cina akan memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada PRK DUN Slim kali ini untuk membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

PRK DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon BN, Mohd Zaidi dan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Dr S Santharasekaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 29 Ogos ini sebagai Hari Mengundi dan keputusan dijangka diketahui selewat-lewatnya jam 10 malam pada hari sama.