Pelajar kolej rugi RM39,897 ditipu sindiket cabutan bertuah

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

BUTTERWORTH- Seorang pelajar kolej swasta mengalami kerugian RM39,897 apabila terpedaya dengan sindiket penipuan cabutan bertuah pada 23 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 20 tahun itu dikatakan membuat pembelian barang dan membuat bayaran menggunakan aplikasi Boost.

Menurutnya, mangsa kemudiannya menerima mesej yang menyatakan dia telah terpilih untuk memenangi cabutan bertuah sebanyak RM8,888.

"Mangsa seterusnya telah klik pautan pada mesej tersebut dan secara automatik telah menyambungkannya kepada satu individu di dalam aplikasi WhatsApp.

"Dia diberikan satu rangkaian aplikasi dan diminta mengisi beberapa maklumat dalam borang yang diberikan," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, mangsa juga telah memasukkan maklumat akaun bank miliknya seperti kata laluan perbankan atas talian dan nombor akaun.

"Mangsa tidak sedar dia telah mendedahkan maklumat tersebut kepada ahli sindiket tersebut. Dia turut menerima beberapa siri nombor transaction authorization code (TAC) dan telah menyerahkannya kepada suspek.

"Mangsa yang berasa curiga terus berhubung dengan pihak bank sebelum diberitahu ia adalah sindiket penipuan dalam talian. Dia kemudiannya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM13,000 kerana ditipu sindiket pelaburan tidak wujud sejak Julai lalu.

Noorzainy berkata, mangsa yang bekerja sendiri itu tertarik dengan iklan pelaburan wang di Facebook yang menawarkan pulangan wang yang tinggi setiap bulan dengan bermodalkan RM2,000.

Menurutnya, mangsa dikatakan ditawarkan pulangan wang sebanyak 30 peratus setiap bulan dalam tempoh yang tidak dinyatakan.

"Mangsa yang berminat dengan konsep pulangan wang berganda itu terus memasukkan sejumlah wang untuk mendapatkan pulangan wang seperti yang dijanjikan.

"Bagaimanapun, mangsa tidak menandatangani sebarang dokumen perjanjian dan hanya berurusan melalui panggilan telefon," katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya sedar ditipu apabila diminta untuk membayar lagi sejumlah wang kononnya sebagai bayaran cukai syarikat.

"Menyedari dirinya terperangkap dengan sindiket penipuan, mangsa yang berusia 22 tahun itu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.