Proton gesa pemilik Perdana 2012-2018 tukar beg udara

Proton Holdings Bhd menegaskan keselamatan pelanggan amat penting bagi mereka.
Proton Holdings Bhd menegaskan keselamatan pelanggan amat penting bagi mereka.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd (Proton) memohon kerjasama pemilik kereta Perdana yang dibina pada 2012-2018 untuk menukar beg udara Takata di pusat servis berhampirannya dengan seberapa segera.

Bagaimanapun, arahan itu tidak membabitkan kereta Perdana yang dikeluarkan selepas 31 Ogos, 2018.

Dalam kenyataan hari ini, pengeluar kereta nasional itu berkata, servis baik pulih berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif global untuk kereta-kereta yang dilengkapi dengan beg udara Takata.

Semua tindakan yang diambil itu adalah selaras dengan Laporan Maklumat Kerosakan (DIR) dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan dan Traffik Lebuh Raya Kebangsaan Amerika (NHTSA) mengenai penggantian inflator beg udara bukan kering.

Berikutan itu, pihak Proton telah memulakan proses penggantian berkenaan sejak Januari 2019.

"Sebanyak 6,342 kereta terjejas dan setakat 18 Ogos 2020, pusat servis kami telah melakukan penggantian untuk sejumlah 5,625 unit atau 87.5 peratus daripada jumlah keseluruhannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah.

Menurutnya, Proton juga menegaskan bahawa proses itu tidak melibatkan mana-mana model lain keluarannya berikutan pembekal beg udara yang berbeza.

"Keselamatan pelanggan amat penting untuk Proton. Bagaimanapun, kami tidak dapat menghubungi semua pemilik Perdana terbabit berikutan maklumat pemilik yang tidak lengkap.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, kami ingin menyeru semua pemilik yang belum mengganti inflator beg udara mereka untuk menghubungi pusat servis kami untuk membuat janji temu segera dan penukaran ini hanya mengambil masa kira-kira satu jam dan tiada bayaran dikenakan," katanya.

Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi talian khidmat pelanggan Proton di 1-800-888-398 atau e-mel customercare@proton.com. - Bernama