X

Kindly register in order to view this article
!

PRK DUN Slim: Kes sogok dirujuk ke SPR, SPRM

Sulizmie Affendy pada sidang akhbar di IPD Muallim hari ini.
A
A

TANJUNG MALIM - Laporan polis dibuat calon Bebas berhubung dakwaan berlaku unsur sogokan terhadap pengundi dalam satu program anjuran Kementerian Sumber Manusia telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan itu semalam dan satu siasatan awal telah dijalankan.

"Kita telah merujuk laporan polis dibuat itu kepada SPR dan SPRM untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan wakil kepada calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mendedahkan penganjuran program Karnival Kerjaya dan Kemahiran JobsMalaysia di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River itu sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 10(B) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana secara sogokan menjanjikan dan memberikan pekerjaan.

ARTIKEL BERKAITAN Calon Bebas buat laporan polis dakwa wujud unsur sogokan

Dalam perkembangan sama, Sulizmie Affendy berkata, polis telah menerima tiga laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sepanjang tempoh 10 hari berkempen sehingga hari ini.

Menurutnya, daripada tiga laporan itu, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan selepas menerima laporan berhubung perbuatan khianat ke atas harta benda.

Beliau berkata, laporan diterima pada 20 Ogos itu membabitkan sebuah papan iklan seorang calon parti bertanding disembur dengan cat di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Changkat Sulaiman. Sehingga kini siasatan kes itu masih diteruskan.

"Polis turut menerima satu laporan pada 22 Ogos lalu berkaitan kenyataan tidak benar yang di muat naik di media sosial.

"Kes ini telah selesai selepas pengadu berpuas hati dengan permohonan maaf daripada pemilik media sosial yang memuat naik kenyataan tersebut.

"Bagaimanapun polis telah merujuk kes itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pengadu juga boleh memfailkan laporan polis ini ke mahkamah untuk satu tindakan sivil diambil," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, polis telah menerima 101 permohonan permit bagi tujuan berkempen dan ceramah umum sehingga semalam membabitkan 72 permohonan daripada Barisan Nasional (BN) dan 29 daripada Bebas.

"Daripada keseluruhan jumlah permohonan itu, hanya satu tidak diluluskan atas faktor lokasi tidak sesuai bagi aktiviti kempen," katanya.

Mengulas mengenai pengundian awal esok, katanya seramai 60 pegawai dan anggota akan terlibat dalam penugasan di saluran mengundi, bilik gerakan PRK dan rondaan keselamatan.

Terdahulu, SPR memaklumkan seramai 267 anggota polis akan mengundi awal esok yang akan berlangsung di IPD Muallim bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!