Keluar mengundi ikut masa tertera pada kad

Hari mengundi PRK DUN Slim ditetapkan pada Sabtu depan.
Hari mengundi PRK DUN Slim ditetapkan pada Sabtu depan.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim digalakkan keluar membuang undi mengikut masa yang tertera pada kad pengundi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata, ia bertujuan mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai bagi memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

Menurutnya, mereka juga tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR dan boleh terus ke saluran mengundi.

"Pada kad pengundi kali ini, SPR juga meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan bagi setiap pengundi.

"SPR amat berharap pengundi keluar mengundi mengikut masa yang ditetapkan itu," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, bagi pengundi yang tidak menerima kad pengundi, Ikmalrudin berkata, mereka boleh membuat semakan maklumat pengundian lebih awal sebelum hari pengundian.

Jelasnya, semakan boleh dibuat melalui portal semakan pemilih iaitu https://pengundi.spr.gov.my; Hotline SPR di talian 03-88927018; Aplikasi MySPR Semak; atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 (taip SPRSEMAKnombor kad pengenalan)

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian untuk ditunjukkan kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi pengundi yang baharu membuat semakan, mereka disarankan untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

"Kad pengundi atau catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

"SPR ingin menyeru semua pengundi untuk melaksanakan hak mengundi mereka," katanya.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Pengundian awal ditetapkan pada 25 Ogos manakala hari mengundi pada 29 Ogos.