2,000 ahli Bersatu Melaka umum keluar parti

Imanuddin (tengah) ketika sidang akhbar pengumuman keluar Bersatu Melaka di Hotel Tun Fatimah Riverside Kampung Jawa di sini malam tadi.
Imanuddin (tengah) ketika sidang akhbar pengumuman keluar Bersatu Melaka di Hotel Tun Fatimah Riverside Kampung Jawa di sini malam tadi.
A
A
A

MELAKA - Hampir 2,000 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka mengumumkan keluar parti berkuat kuasa malam tadi.

Bekas Ketua Cawangan Rim Bahagian Jasin, Imanuddin Tan Sri Aziz Tapa berkata, mereka yang keluar parti beramai-ramai mewakili lima daripada enam bahagian termasuk Bahagian Tangga Batu, Bahagian Kota Melaka, Bahagian Jasin, Bahagian Alor Gajah dan Bahagian Hang Tuah Jaya.

Menurutnya, pihaknya yakin lebih ramai ahli Bersatu negeri ini akan menyusul untuk meninggalkan parti kerana tidak yakin dengan kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa telah mengkhianati parti.

"Hasrat semua bahagian keluar pada malam ini kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang telah mengkhianati dan beberapa perkara lain lebih-lebih lagi mengkhianati Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Imanuddin berkata demikian ketika sidang akhbar pengumuman keluar parti Bersatu Melaka di Hotel Tun Fatimah Riverside Kampung Jawa di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Imanuddin turut mendakwa Bersatu Melaka akan lumpuh malah mesyuarat Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada minggu lalu ada di antara bahagian hanya dihadiri 20 orang ahli sahaja dan didakwa tidak sampai satu pertiga selain banyak peristiwa lain yang menggambarkan parti itu akan terkubur kerana mengkhianati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Menurutnya, daripada 20,000 ahli Bersatu di negeri ini dianggarkan kira-kira 40 peratus lagi ahli yang akan melakukan tindakan sama dan jumlah itu dapat dilihat selepas mesyuarat agung bahagian yang berlangsung hari ini termasuk Bahagian Bersatu Masjid Tanah.

Katanya, jumlah yang keluar juga termasuk 16 ketua cawangan, pengerusi tetap bahagian dan timbalan pengerusi tetap bahagian yang dipecat kerana didakwa melanggar peraturan parti di bawah Fasal 10.2.4 Perlembagaan Parti pada 15 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga menjangkakan kehadiran pada mesyuarat hari ini akan berkurangan seperti di Jasin termasuk lapan ketua cawangan yang tidak menghantar laporan kerana untuk bubarkan cawangan.

"Saya yakin dah tidak bermakna lagi Bersatu di Melaka dan saya mohon wakil-wakil rakyat asalnya Bersatu balik semula, duduk sahajalah bebas dan sokong Adly (bekas Ketua Menteri, Adly Zahari)," katanya.

Dalam pada itu, kumpulan yang dihadiri kira-kira 300 ahli Bersatu turut menyatakan pendirian untuk menyokong Pejuang.

Pada 7 Ogos lalu, bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu yang dinamakan sebagai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).