Doktor tidak temui bukti ketua pembangkang Rusia diracun

Navalny tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke dalam ambulan di bandar Omsk, Siberia. Foto: Agensi
Navalny tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke dalam ambulan di bandar Omsk, Siberia. Foto: Agensi
A
A
A

OMSK - Timbalan Pengarah Hospital Omsk di Siberia, Anatoly Kalinichencko berkata, pasukannya tidak menemui sebarang bukti bahawa ketua pembangkang Rusia, Alexei Navalny diracun.

Navalny, 44, tidak sedarkan diri dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan selepas didakwa mengalami keracunan toksik ketika dalam penerbangan dari Siberia ke Moscow.

"Kami sudah melakukan diagnosis menyeluruh terhadap keadaan Navalny dan mendapati tiada kesan racun pada darah dan sampel urinnya.

"Buat masa ini, keadaan pesakit tidak stabil dan disaran untuk tidak dipindahkan ke mana-mana negara untuk rawatan," katanya mengulas tawaran Canselor Jerman, Angela Merkel untuk merawat Navalny di Berlin.

Terdahulu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut menyuarakan kebimbangan dan menawarkan suaka kepada pengkritik tegar Presiden Vladimir Putin itu.

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Moscow pula berkata, jika benar Navalny diracun, rakyat Rusia berhak mengetahui dalang yang bertanggungjawab menyebabkan beliau jatuh sakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua pembangkang Rusia didakwa diracun

Sebelum ini, jurucakapnya, Kira Yarmysh berkata, Navalny diletakkan dalam keadaan koma dengan bantuan alat pernafasan.

Kata Yarmysh, pihaknya tidak menolak kemungkinan Navalny diracun dengan sesuatu yang dicampur ke dalam tehnya kerana ia satu-satunya minuman yang diminum pada pagi tersebut. - AFP

Artikel Berkaitan: