Siapa pilihan rakyat Cameron Highlands?

No Image Caption
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Selepas 14 hari tempoh berkempen, pengundi di Dun Tanah Rata dan Dun Jelai akan menunaikan tanggungjawab masing-masing mengundi pada PRK Cameron Highlands hari ini.

Seramai 31, 639 pengundi berdaftar layak mengundi hari ini dan sebanyak 110 kertas pos telah dikeluarkan kepada pengundi yang layak mengundi secara pos.

Manakala, 216 anggota polis telah pun mengundi awal pada 22 Januari lalu.

Seperti semua sedia maklum, PRK ini melibatkan pertembungan empat penjuru antara calon PH, M Manogaran, Ramli Mohd Nor dari BN serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan.

Mengimbas kembali sepanjang tempoh berkempen, Cameron Highlands yang terkenal dengan suhu sejuknya sesekali dipanaskan dengan beberapa isu kontroversi dalam PRK ini.

Malah, sejak awal lagi PRK ini telah dicemari dengan isu pemberian politik wang susulan penyebaran gambar Orang Asli dilihat menerima wang daripada petugas PH.

Belum pun reda, timbul satu lagi isu panas iaitu tindakan menyalahgunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen oleh seorang timbalan menteri.

Menjelang hari pengundian, bahang semakin terasa dengan ceramah berbaur perkauman dan pemasangan poster yang mengandungi perkara sensitif.

Artikel Berkaitan:

Mengenai calon pula, kebanyakannya bijak membawa isu-isu tempatan yang dekat di hati pengundi.

Antaranya ialah masalah parkir, kesesakan jalan raya, penerokaan haram, lesen pendudukan sementara (TOL), isu pertanian, Felda dan keperluan Orang Asli.

No Image Caption

Bagi Manogaran yang kali ketiga bertanding di kerusi ini, beliau mendapat kelebihan kerana ramai pemimpin tertinggi parti turun memberi sokongan.

Antaranya ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Tidak ketinggalan ialah Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir di Dun Jelai pada hari terakhir berkempen.

Sokongan kepada calon BN tidak kurang hebatnya kerana buat pertama kalinya semua parti komponen iaitu Umno, MIC dan MCA sama-sama turun padang mendekati pengundi.

Turut menguatkan sokongan ialah bantuan jentera Pas termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi yang berkongsi pentas ceramah dengan pemimpin-pemimpi BN.

Namun, paling mendapat sambutan ialah kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga mengundang rasa kurang senang pemimpin PH.

Tidak keterlaluan jika mengatakan populariti Najib mengatasi calon apabila beliau mengunjungi Cameron Highlands sebanyak dua kali atas permintaan rakyat.

Manakala, kempen calon-calon Bebas pula dilihat lebih bersederhana tanpa ada jentera yang besar, namun masih mendapat perhatian pengundi.

Soal siapa dijangka menang, masing-masing ada kelebihan khususnya Ramli dan Manogaran yang mewakili dua pakatan politik besar di negara ini.

Malah, Ramli dilihat mempunyai nilai tambah kerana merupakan calon Orang Asli yang mewakili 22 peratus pengundi.

Namun, jangan sesekali dinafikan kelebihan calon-calon Bebas yang tidak mustahil membuat kejutan.

Siapa pun pilihan anda pengundi Cameron Highlands, buatlah pilihan dengan bijak.

Pilihlah calon yang diyakini mampu membawa suara rakyat dan perubahan di Cameron Highlands. Selamat mengundi!