Lima cawangan Bersatu Gopeng keluar parti

Ketua-ketua cawangan dan ahli Bersatu di lima cawangan Bersatu Bahagian Gopeng mengumumkan keluar parti.
Ketua-ketua cawangan dan ahli Bersatu di lima cawangan Bersatu Bahagian Gopeng mengumumkan keluar parti.
A
A
A

GOPENG - Seramai 462 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di lima cawangan di bahagian Gopeng keluar parti dengan alasan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti terutama presiden dan timbalan presiden serta Bersatu Bahagian Gopeng.

Ketua Cawangan Bersatu Kampung Sengat, Abdul Rahim Hassan berkata, cawangan berkenaan ialah Desa Pelancongan, Kampung Sengat, Pekan Razaki, Gunung Rapat Utara dan Desa Pakatan.

Menurutnya, tindakan keluar parti itu turut membabitkan lima ketua cawangan sekali gus menyebabkan kesemua cawangan itu terbubar.

"Kami mengambil keputusan berkuat kuasa serta-merta kerana melihat parti telah lari daripada perjuangan asal," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Rahim berkata, di Gopeng terdapat 18 cawangan Bersatu termasuk lima cawangan berkenaan.

Abdul Rahim mengumumkan lima ketua cawangan Bersatu Bahagian Gopeng keluar parti bersama 462 ahli kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi.
Abdul Rahim mengumumkan lima ketua cawangan Bersatu Bahagian Gopeng keluar parti bersama 462 ahli kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi.

Pengumuman keluar parti itu turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook salah seorang ahli yang keluar parti.

Sementara itu, Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang maklum dengan tindakan berkenaan memberitahu, kebanyakan mereka merupakan individu yang tewas pada pemilihan bahagian parti sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Tak semua ahli keluar. Kebanyakan mereka yang kalah bertanding dalam pemilihan bahagian hari itu. Mereka ditawarkan jawatan jika keluar Bersatu," katanya ringkas kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Zainol Fadzi dalam kenyataannya menegaskan parti itu di Perak masih kukuh walaupun terdapat segelintir ahli mengumumkan keluar parti untuk bersama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, sehingga kini tiada mana-mana Bersatu Bahagian di Perak yang dibubarkan akibat tindakan beberapa individu keluar parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu Perak masih kukuh: Zainol Fadzi