PBSNT tidak rancang tambah kuota import

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak mempunyai perancangan menambah pemain import baharu setakat ini walaupun pemain import pasukan Terengganu Football Club (TFC), Lee Tuck didaftar sebagai pemain tempatan.

"Melainkan selepas ini, PBSNT mengubah keputusan mengenai pengambilan pemain import baharu, itu akan kami umumkan kemudian.. tapi buat masa ini kami kekal dengan pemain import sedia ada," kata Timbalan Presiden PBSNT Hishamuddin Abdul Karim.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pembukaan kedai peralatan sukan Football Republic milik Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd di Jalan Sultan Sulaiman di sini hari ini. Turut hadir Pengurus Pembangunan Perniagaan Al Ikhsan Sport Sdn Bhd Suhari Hassan.

Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat menjadikan Lee Tuck sebagai pemain Harimau Malaya selepas menghubungi ketua jurulatih TFC Irfan Bakti Abu Salim.

Namun FAM menegaskan badan induk itu tiada hak untuk memaksa mana-mana pemain melepaskan kerakyatan sedia ada kecuali dengan keinginan pemain itu sendiri selain permohonan pendaftaran itu dilakukan persatuan negeri sebelum dipanjangkan kepada FAM.

Lee Tuck difahamkan boleh didaftar sebagai pemain tempatan kerana berdarah kacukan Cina tempatan di sebelah neneknya.

Sementara itu, Suhari berkata pihaknya berhasrat menambah lagi tiga cawangan Football Republic menjadikan jumlah keseluruhan lapan cawangan di seluruh negara iaitu di Kota Bharu (Kelantan), Johor Baharu (Johor) dan Negeri Sembilan.

"Setakat ini kami sudah ada lima cawangan iaitu di Suria KLCC (Kuala Lumpur), Sunway Pyramid (Selangor), Alor Setar (Kedah), Kuantan (Pahang), dan hari ini pembukaan cawangan Kuala Terengganu (Terengganu)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pihaknya telah bersetuju memberi penajaan berjumlah RM1.2 juta kepada pasukan bola sepak Terengganu FC (TFC) dalam bentuk peralatan dan jersi untuk tempoh dua tahun bermula tahun ini. - Bernama