Bersatu bantu BN berkempen

Mohd Zaidi bertemu dengan penduduk di Trolak Pekan, Tanjung Malim.
Mohd Zaidi bertemu dengan penduduk di Trolak Pekan, Tanjung Malim.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula menunjukkan komitmen dalam Perikatan Nasional (PN) apabila membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz berkata, jentera Bersatu sudah mula bergerak menemui pengundinya sepanjang tiga hari berkempen.

“Dengan Pas kita bekerjasama rapat, begitu juga Bersatu bersama kita walaupun tidak bergerak sekali ketika bertemu dengan pengundi.

“Saya telah berhubung dengan pimpinan Bersatu di sini, Mohd Amran Ibrahim untuk menyusun gerak kerja bagi menarik ahli dan pengundi Bersatu. Kita lebih fokus di mana setiap parti menjaga penyokong masing-masing,” katanya pada program ramah mesra bersama pengundi di Trolak Pekan di sini hari ini.

Menurutnya, kombinasi itu dilihat memudahkan BN menjejaki kesemua lebih 23,000 pengundi berdaftar dalam kawasan DUN Slim.

“Dengan adanya Bersatu hari ini boleh menarik sekurang-kurangnya separuh daripada 6,000 undi yang diraih Mohd Amran. Sasaran meraih 14,000 undi dilihat tidak mustahil boleh kita dapat,” katanya.

Mohd Amran merupakan bekas calon Bersatu DUN Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau memperoleh 6,144 undi, bagaimanapun tewas kepada Allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib yang mendapat 8,327 undi. Calon Pas memperoleh 4,103 undi.

Artikel Berkaitan: